Warga emas maut, kereta bertembung lori

Iklan
Seorang warga emas maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Kampung Wakaf Bata, Machang pada Rabu.

MACHANG - Seorang warga emas maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Kampung Wakaf Bata, di sini pada Rabu.

Mangsa, Nawi Ismail, 71, dari Kampung Batu Mengkebang, Kuala Krai meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Machang.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada jam 10.45 pagi apabila lori jenis Isuzu yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 36 tahun dalam perjalanan dari arah Tanah Merah menghala ke Machang.

"Akibat daripada itu, lori yang dipandu telah hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan serta bertembung dengan kereta jenis Proton Iswara yang dipandu mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Menurut beliau, akibat pelanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan di kaki kanan manakala dua lagi penumpang dipercayai isterinya berusia 67 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut.

Ujarnya, siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu lori.

Iklan

Mohd Adli memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan.