SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pihak bank perlu bertanggungjawab dalam menentukan kaedah dan jumlah ganti rugi bagi kes penipuan dalam talian membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH) kerana urusan pengeluaran wang simpanan dibuat menggunakan perbankan konvensional dan bukannya melalui TH.
Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, langkah itu adalah antara sembilan syor yang diputuskan pada Mesyuarat Bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat dan TH bagi menangani isu penipuan dalam talian membabitkan TH.
Menurutnya, jawatankuasa itu turut mencadangkan agar pihak TH memberi peluang kepada pendeposit TH untuk membuat pilihan sama ada urusan simpanan dan pengeluaran dibuat secara manual atau secara dalam talian.
"TH juga perlu memperhebatkan lagi hebahan media kempen kesedaran penipuan dalam talian kepada masyarakat. Kempen tersebut boleh dihebahkan menerusi media sosial, cetak dan penyiaran.
"Cadangan itu diputuskan selepas mengambil kira jumlah kerugian ekoran penipuan dalam talian membabitkan TH menerusi pelbagai institusi perbankan setakat ini bernilai RM1.96 juta,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat dan TH yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin; Pengarah Eksekutif Operasi Haji TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab; Pengurus Besar Komunikasi Korporat Haji TH, Ahmad Shahriman Johari dan Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Haji TH, Affandi Abdullah.
Tambahnya, hasil mesyuarat bersama itu juga memutuskan bahawa kehilangan wang semasa proses dan interaksi pengeluaran wang (debit) dalam akaun TH adalah tertakluk kepada faktor kesiagaan bank berkenaan.
"Aspek kompensasi kepada mangsa penipuan hendaklah diuruskan melalui polisi insurans perbankan itu sendiri. Jawatankuasa memutuskan adalah menjadi tanggungjawab utama bank berkenaan agar pendeposit tidak hilang keyakinan kepada mereka.
"TH dan bank perantara perlu meningkatkan aspek keselamatan dari segi urusan perbankan dalam talian. Dicadangkan juga agar syarat-syarat pengeluaran wang secara dalam talian diperketatkan sama seperti agensi lain seperti yang dibuat oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam urusan jual beli Amanah Saham Bumiputera," katanya.
Jelas Rais, TH juga perlu menyediakan laporan atau penyata ganti rugi yang diberikan kepada mangsa penipuan khususnya berkaitan dengan TH agar masalah tersebut dapat dipantau dari semasa ke semasa.
Keputusan mesyuarat jawatankuasa itu katanya, akan diusulkan dalam sidang Dewan Negara akan datang agar isu dan permasalahan yang dihadapi rakyat mendapat perhatian yang sewajarnya.