Rumah panjang didiami lebih 200 penghuni terbakar

Iklan
Gambar hiasan.
SIBU - Lebih 200 penduduk di sebuah rumah panjang di Medamit, Limbang, kira-kira 588 kilometer ke utara dari sini tinggal sehelai sepinggang setelah kediaman mereka musnah dalam kebakaran pada Rabu.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataan berkata, panggilan kebakaran Rumah Panjang Rantau Kiran sepanjang 39 pintu itu diterima pada jam 6.48 pagi dan satu pasukan dari Balai Bomba Dan Penyelamat Limbang serta Bomba Sukarela Kampung Medamit berdekatan kawasan kejadian telah digerakkan ke lokasi.

"Tindakan pasukan bomba bagi mengawal dan memadam kebakaran adalah menggunakan air dari tangki jentera bomba. Pasukan bomba mengalami kesukaran memadam api kerana tiada pili bomba yang berdekatan lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.

Pasukan bomba seterusnya menggunakan air dari tangki domestik rumah panjang tersebut bagi memadam kebakaran, selain mengepam air dari sebuah kolam berhampiran sebelum api dapat dipadam sepenuhnya kira-kira jam 12.43 tengah hari.

Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian itu dan punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan. - Bernama