Tiada unsur diskriminasi dalam program SPM - Exco Johor

Iklan
Norliza mengadakan pertemuan melibatkan Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan Pengetua SMK Convent Infant Jesus susulan tular isu program khusus untuk pelajar muslim sahaja pada Rabu.

JOHOR BAHRU - Tiada unsur pengabaian atau diskriminasi dalam program anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Jesus Convent Johor Bahru di sini seperti yang tular dalam media sosial sejak Selasa.

Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norliza Noh mengesahkan perkara tersebut selepas pencerahan diberikan pihak sekolah berkenaan selaras dengan kenyataan yang dikeluarkan pihak Kementerian Pendidikan (KPM).

Iklan
Iklan

"Hari ini saya mengambil inisiatif memanggil Pengarah Pendidikan Johor, Timbalan Pengarahnya, Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru, Pengetua SMK Convent Infant Jesus Johor Bahru, Yang diPertua PIBG SMK Convent Infant Jesus Johor Bahru dan guru-guru sekolah tersebut.

"Ini bagi mendengar sendiri isu berkaitan Program Bengkel Pendidikan SPM SMK Infant Convent Jesus yang didakwa dijalankan dengan penglibatan pelajar Muslim sahaja di sekolah tersebut.

Iklan

"Program yang dijalankan pihak sekolah tidak mengabaikan dan mendiskriminasi agama dan bangsa pelajar. Oleh itu, saya menyeru semua pihak agar tidak mengeluarkan pendapat sendiri dalam media sosial kerana perkara ini boleh menimbulkan suasana tidak harmoni," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama berkata demikian dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Difahamkan, program berkenaan diadakan untuk pelajar Islam terlebih dahulu untuk tidak mengganggu pelajar bukan Islam menyambut Tahun Baharu Cina sebelum program untuk pelajar bukan Islam diadakan selepas sambutan perayaan berkenaan.

Isu tersebut turut mendapat perhatian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang bertitah pada malam Selasa mahukan perkara tersebut disiasat sama ada betul atau tidak kerana melibatkan keharmonian kaum di negeri ini.

Mengulas lanjut, Norliza menyeru kepada semua pihak terutama ibu bapa dan masyarakat membuat aduan melalui saluran atau platform yang disediakan pihak KPM jika terdapat sebarang aduan melibatkan sekolah atau pelajar.

"Patik menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor agar tiada orang yang disisihkan daripada mana-mana program atas sebab agama dan bangsanya.

"Kerajaan negeri komited untuk menjadikan sekolah sebagai medan untuk menyemai semangat perpaduan dan menolak sebarang program atau aktiviti yang boleh membawa kepada diskriminasi kaum dan agama," ujar beliau.

Identiti Bangsa Johor katanya, cukup sinonim sebagai pemangkin semangat untuk membentuk keharmonian, persefahaman dan toleransi antara pelbagai kaum dan agama di negeri ini.