KUALA LUMPUR - Polis tidak menerima sebarang permohonan permit berkaitan demonstrasi aman serta serahan memorandum berkaitan isu membantah pembakaran al-Quran pada Jumaat ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, himpunan tersebut dikesan akan diadakan kira-kira jam 8.30 pagi bertempat di kedutaan Sweden di ibu negara.
Menurutnya, tiga poster dikesan dimuat naik menerusi media sosial berkaitan gesaan kepada orang ramai untuk menghadiri himpunan tersebut kira-kira jam 9 malam pada Selasa.
"Himpunan tersebut turut menyatakan akan melibatkan perarakan dari Masjid Tabung Haji ke kedutaan Belanda serta berhimpun dan berarak ke kedutaan Sweden dari Masjid As-Syakirin KLCC pada Jumaat ini," katanya menerusi kenyataan akhbar pada Rabu.
Katanya, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan untuk mengadakan himpunan seperti yang ditularkan.
"Tiada sebarang pemberitahuan perhimpunan daripada mana-mana pihak bagi mengadakan apa-apa perhimpunan seperti yang diperuntukan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.
"Perhimpunan tanpa pemberitahuan merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 9 (5) akta yang sama," katanya.
Menurutnya, orang ramai diingatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang perhimpunan dan perarakan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang.
Jelasnya, tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang terlibat dengan perhimpunan sedemikian.
Pada Selasa, tular poster menyeru orang ramai untuk menyertai demonstrasi aman serta serahan memorandum berkaitan isu membantah pembakaran al-Quran pada Jumaat ini.