'Perubahan pucuk pimpinan beri risiko ketidakstabilan politik'

Iklan

SHAH ALAM - Sebarang perubahan pucuk pimpinan UMNO sedia ada dikhuatiri akan membawa risiko ketidakstabilan politik dalam Kerajaan Perpaduan.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun berkata, ahli-ahli UMNO perlu memberi peluang sepenuhnya kepada Kerajaan Perpaduan untuk melaksanakan dasar-dasar baharu dan program-program pemulihan ekonomi demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini kerana proses penubuhan Kerajaan Perpaduan itu sendiri telah melalui langkah-langkah yang dikawal-selia sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut lunas-lunas perlembagaan.

"Ahli-ahli UMNO boleh berlapang dada dan menerima hakikat bahawa UMNO telah ditakdirkan berada dalam Kerajaan Perpaduan setelah pelbagai usaha dilakukan oleh pucuk pimpinan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk menjamin survival parti.

Iklan

"Keputusan sebahagian besar majoriti perwakilan UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 baru-baru ini, menyokong usul agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan adalah sebuah manifestasi kesedaran ahli-ahli UMNO terhadap keperluan mengekalkan pucuk pimpinan sedia ada, demi kestabilan politik negara.

"Keabsahan kedudukan Perdana Menteri yang dibuktikan melalui usul percaya di Parlimen tempoh hari juga memberi titik noktah kepada segala pertikaian dan persoalan yang masih cuba dimainkan, termasuk usaha oleh segelintir pihak yang mahu menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan ini,"katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Tambah beliau, Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disokong oleh parti-parti induk iaitu Barisan Nasional (BN) dan GPS, adalah sebuah legitimasi sistem demokrasi yang utuh dan telus.

Ujarnya, kedudukan UMNO datang dengan hikmah besar di mana parti masih mampu meneruskan agenda membantu rakyat walaupun telah kehilangan banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Justeru, ahli-ahli UMNO perlu meneruskan usaha-usaha memperkuatkan semula parti di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi menghadapi enam pilihanraya negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi," katanya.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 lalu meluluskan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Perkara itu menimbulkan pertikaian sesetengah ahli termasuk nama-nama besar dalam parti.

Aduan kepada Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (RoS) terhadap keputusan UMNO itu juga telah dibuat.