Mangsa cecah 5,000, Pontian daerah baharu dilanda banjir di Johor

Iklan
Anggota APM Johor membantu mangsa banjir di Kampung Melayu Raya ditempatkan di PPS di SK Melayu Raya, Pontian, pada Rabu. - Foto ihsan APM Johor

JOHOR BAHRU - Johor terus mencatatkan peningkatan mangsa banjir dengan jumlah terkini seramai 5,000 orang daripada 1,390 keluarga ditempatkan di 51 pusat pemindahan sementara (PPS) pada jam 10 malam Rabu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah itu semakin bertambah berbanding dengan 4,368 mangsa banjir membabitkan 1,218 keluarga yang ditempatkan di 45 PPS pada jam 8 malam.

Iklan
Iklan

"Pontian menjadi daerah terbaharu dilanda banjir di negeri ini selepas sebuah PPS dibuka pada jam 5.35 petang Rabu.

"Seramai 18 mangsa banjir membabitkan empat keluarga dari Kampung Melayu Raya ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Beliau memberitahu, perkembangan terbaharu itu menjadikan Pontian daerah ketujuh dilanda banjir di negeri ini.

Menurutnya, Segamat masih mencatatkan bilangan mangsa banjir paling ramai dengan 1,784 orang daripada 501 keluarga di 20 PPS.

Iklan

Katanya, ini diikuti di Kluang melibatkan 1,239 orang daripada 358 keluarga yang ditempatkan di 12 PPS.

Azmi berkata, Mersing pula mencatatkan peningkatan 851 orang membabitkan 258 keluarga di lima PPS manakala bilangan mangsa di Kota Tinggi pula menempatkan 706 mangsa banjir membabitkan 169 keluarga di enam PPS.

Di Muar pula katanya, jumlah mangsa mencatatkan seramai 206 orang membabitkan 46 keluarga di tiga PPS sementara di Batu Pahat mencatat 196 orang daripada 54 keluarga yang ditempatkan di empat PPS.