SKUAD hoki negara perlu konsisten dengan aksi berkelas dunia untuk meraih kemenangan ke atas Afrika Selatan dalam aksi penentuan tempat kesembilan hingga 16 Piala Dunia 2023 di Stadium Birsa Munda, Rourkela, India pada Khamis.
Pengendali Malaysian Tigers, Arul Selvaraj berkata, para pemain telah meletakkan corak permainan mereka pada satu tahap berbeza ketika bersaing di peringkat kumpulan dan momentum tersebut perlu dikekalkan.
"Pesan saya kepada pemain. Kita sudah beri aksi yang sangat bagus ketika menentang New Zealand, Chile dan Sepanyol. Itu adalah tahap kita.
"Kita tidak boleh turunkan tahap ini sama ada dari segi individu dan pasukan. Teruskan dengan persembahan terbaik,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Arul menegaskan, perjuangan skuad Malaysian Tigers belum berakhir dan perlu sedar dengan matlamat pasukan pada kejohanan berprestij tersebut.
Justeru beliau menuntut pemain mempamerkan semangat juang, kepercayaan dan disiplin yang tinggi seperti ketika beraksi menentang Sepanyol dan New Zealand baru-baru ini.
"Tugas belum selesai. Kita datang ke Piala Dunia dengan matlamat sedikit demi sedikit seperti cara kita beraksi menentang Belanda. Kita guna prestasi (pengalaman) itu ketika menang ke atas New Zealand dan Chile.
"Kita main di peringkat crossover dan pamer aksi terbaik semasa lawan Sepanyol, namun kita gagal pada penentuan shoot-out. Kini kita nak habiskan di tempat kesembilan atau sekurang-kurangnya ke-10,” katanya.
Beliau menambah, situasi di kem negara juga ceria dengan para pemain sudah melupakan kekalahan kepada Sepanyol.
"Mood dalam pasukan sudah pulih. Selepas tewas mereka berasa kecewa, namun sedar tugas belum habis. Pada sesi latihan mereka berlatih dengan bagus dan gembira. Malaysian Tigers sudah sedia untuk lawan Afrika Selatan,” katanya.
Dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah edisi lalu, Malaysia berjaya menewaskan Afrika Selatan 7-2.
"Keputusan menentang Afrika Selatan semasa kejohanan itu tidak boleh diambil kira. Ia disebabkan perubahan pada pemain sama ada di pihak kita atau pasukan lawan.
"Ini Piala Dunia. Setiap perlawanan penting dengan mana-mana pasukan akan keluar dengan mentaliti berbeza untuk meraih kemenangan,” katanya.
Pada saingan Piala Dunia kali ini, Afrika Selatan yang diundi dalam Kumpulan A tewas semua perlawanan peringkat kumpulan menentang Argentina (0-1), Australia (2-9) dan Perancis (1-2).
Malaysia pula terlepas peluang untuk meraih slot suku akhir setelah dikecewakan Sepanyol 3-4 menerusi penentuan shoot-out selepas terikat 2-2 pada masa sebenar saingan sebelum berlarutan ke penentuan sudden death selepas keputusan 3-3.