Tujuh anggota tentera hanyut empat jam bot karam

Iklan
Antara anggota tentera yang diselamatkan selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan Pulau Nunuyan, Sandakan.

SANDAKAN - Tujuh anggota tentera hanyut selama hampir empat jam selepas bot yang mereka naiki karam akibat dipukul ombak dalam kejadian di perairan Pulau Nunuyan di sini pada Rabu.

Bagaimanapun, kesemua anggota terbabit berjaya diselamatkan pada jam 2.50 petang oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di perairan berkenaan.

Iklan
Iklan

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata, bot ronda jenis viper 7 Markas Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2 yang dinaiki tujuh anggota tentera bertolak pada jam 10 pagi dari Pulau Bakungan Kecil ke jeti Markas ATB 2 Batu Sapi.

"Pergerakan itu adalah bertujuan untuk mengisi minyak dan logistik serta kebajikan anggota.

Iklan

"Bagaimanapun, pada jam 11 pagi ketika tiba berhampiran perairan Pulau Nunuyan, bot dipukul ombak besar dan menyebabkan ia karam," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, akibat kejadian itu menyebabkan kesemua anggota tentera berkenaan hanyut.

Iklan

"Pada jam 2.50 petang, kesemua mangsa yang karam berjaya diselamatkan oleh sebuah bot ronda PGA Batalion 15 dan bot PSC 66.

"Kesemua mereka yang berjaya diselamatkan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan untuk rawatan dan proses dokumentasi," katanya.