PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pihak yang mendakwa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu sebagai paling korup perlu membawa isu tersebut ke mahkamah.
Jelas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, mahkamah merupakan tempat sesuai bagi memutuskan dakwaan tersebut.
Beliau berkata, sesiapa sahaja boleh membuat dakwaan tanpa kemukakan sebarang bukti.
"Kalau sekadar cakap, saya kira ramai yang boleh cakap," katanya.
Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) berkata, terdapat agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus perkara itu.
Pada Rabu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membuat dakwaan tersebut menerusi hantaran di laman sosialnya.
Dakwanya pada PRU15 lalu, rasuah diberikan secara terbuka dan ramai yang menerimanya sebelum mengundi.
Terdapat bukti lain mengenainya semasa pilihan raya yang berlaku tanpa halangan.