KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah memasang papan tanda amaran di kawasan pantai tumpuan pengunjung susulan penemuan ubur-ubur jenis Portuguese Man o'War.
Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, penemuan ubur-ubur beracun itu tidak boleh dipandang ringan walaupun ia perkara biasa yang terjadi pada setiap tahun.
"Oleh itu, PBT disaran memasang papan tanda amaran mengenai ubur-ubur jenis Portuguese Man o'War sebagai peringatan kepada pengunjung agar lebih berhati-hati ketika berada di pantai," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Amanat & Himpunan Warga Kerja Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) di Wisma Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT),di sini.
Menurut Dr Azman, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu juga disaran melakukan pemantauan di beberapa pantai yang berisiko menjadi lokasi ubur-ubur beracun itu terdampar.
Jelas beliau, antara lokasi pantai yang pernah merekodkan penemuan ubur-ubur jenis Portuguese Man o’War atau nama saintifiknya ‘physalia physalis' adalah di Marang, Kuala Nerus, Setiu dan Besut.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan penemuan ubur-ubur berbahaya jenis Portuguese Man o'War di Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus merupakan kes pertama direkodkan di pantai tersebut pada tahun ini.
Kehadiran ubur-ubur itu disedari selepas ada pengunjung memuat naik penemuan dalam media sosial dan susulan itu, anggota APM telah membuat pemantauan di Pantai Seberang Takir.
Selepas penemuan itu, haiwan marin beracun itu kini ditemui pula di Pantai Pulau Kekabu, di sini pada Rabu.
Sebanyak tujuh ekor ubur-ubur Portuguese Man o'War dijumpai sekitar jam 10.30 pagi ketika petugas APM melakukan rondaan rutin harian di sekitar pantai tersebut.