KOTA KINABALU - Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Nor mengumumkan rombakan Pembantu Menteri negeri yang menyaksikan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu di sini pada Khamis.
Hajiji berkata, Naib Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Ruslan Muharam yang juga ADUN Lumadan akan menjalankan peranan sebagai Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri.
Beliau berkata, ADUN Inanam Peto Gadim (PKR) dilantik sebagai Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan manakala ADUN Likas (DAP) sebagai Pembantu Menteri Kewangan.
"Pelantikan itu juga bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk James Ratib, bekas Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan yang kini Menteri Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Rakyat negeri dan Datuk Jasnih Daya yang memilih untuk melepaskan jawatan Pembantu Menteri Kewangan.
"Pelantikan dan rombakan pembantu menteri hari ini adalah usaha berterusan untuk menyatukan dan mengukuhkan pentadbiran kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Hajiji berkata, empat pembantu menteri bertukar porfolio iaitu Datuk Seri Dr Ruddy Awah daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar; Datuk Fairuz Renddan (GRS) sebagai Pembantu Menteri Belia dan Sukan; Datuk Harun Durabi daripada Barisan Nasional (BN) sebagai Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan Datuk Andi Suryady Bandy (BN) sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Industri.
"Saya ingin menekankan kepentingan kerajaan negeri di bawah kepimpinan saya untuk berfungsi sebagai satu pasukan padu yang berkongsi aspirasi sama dibina atas saling percaya dan hormat. Kami memerlukan pasukan yang kuat untuk memacu momentum pembangunan dan memenuhi janji pilihan raya kami untuk rakyat dan negeri,” katanya. - Bernama