Kakitangan PBT didakwa beri keterangan bercanggah

Iklan
Mohd Hadaffy (dua dari kiri) diiringi peguamnya, Azrul (kiri) selepas dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen, di sini pada Khamis.

MELAKA - Seorang kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Khamis atas tuduhan memberi keterangan palsu membabitkan kes rasuah seorang anggota polis.

Mohd Hadaffy Mokhtar Ruzaini, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang masih berkhidmat dengan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) itu telah memberi keterangan yang tidak selaras di mahkamah berbanding kenyataan diberikan kepada Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pejabat SPRM Melaka, pada 18 Februari 2020.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 2.40 petang hingga 3.30 petang di Mahkamah Seksyen 1, di sini pada 18 Januari lalu.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan jaminan antara RM3,000 hingga RM5,000 beserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Melaka setiap bulan.

Tertuduh yang diwakili Peguam Azrul Zulkifli Stork merayu agar jaminan tersebut dikurangkan.

Iklan

Elesabet kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dan memerintahkan tertuduh melapor diri sekali setiap bulan di pejabat SPRM sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 10 Februari ini untuk sebutan semula kes.