SEGAMAT - Seorang warga emas nekad membawa perkakas rumah termasuk peti sejuk dan mesin basuh ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Komuniti Kampung Tasek, Gemereh di sini setelah rumahnya dilanda banjir.
Khatijah Othman, 75, ingin menyelamatkan peralatan berkenaan setelah kediamannya di Kampung Seberang Batu Badak sering dilanda banjir iaitu pada Januari, November dan Disember tahun lepas, manakala kejadian kali ini yang pertama berlaku bagi tahun ini.
Selain peralatan itu, beberapa bungkusan plastik hitam turut dibawa Khatijah yang dimuatkan di belakang lori dipandu anaknya dan setelah sampai di PPS berkenaan Khatijah berkeras mahu semua barangnya diletakkan di pusat pemindahan itu.
Bagaimanapun, atas faktor ruang dewan yang terhad dan lebih ramai mangsa dijangka datang berlindung di situ, permintaannya ditolak baik petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang bertanggungjawab mengawal PPS berkenaan.
Bercakap kepada Bernama, cucunya Siti Balqis Abdullah, 16, yang turut ditempatkan di PPS sama berkata apabila air mulai naik setelah beberapa hari hujan dan diberitahu akan ke PPS, nenek berkeras mahu semua barang di rumahnya dibawa sekali.
Melihat barang-barangnya tiada di situ, Khatijah kerap bertanya kepada Siti Balqis keberadaan harta bendanya itu dan kadangkala berdiri di pintu dewan sambil merenung jauh ke luar, seolah-olah mencari sesuatu yang ‘hilang’.
"Barang nenek tak hilang, pak cik (bapa saudara) simpan dekat rumah bos pak cik, tak boleh simpan dekat sini, nanti kita ambil semula,” katanya setiap kali diajukan soalan sama daripada neneknya itu.
Sementara itu, Ketua Kampung Gemereh 3, Wan Hussein Wan Abas berkata, Khatijah adalah antara 38 mangsa daripada 11 keluarga yang dipindahkan ke PPS itu yang mula dibuka Selasa lepas.
"Penduduk Kampung Seberang Batu Badak sebenarnya sudah biasa dengan banjir. Setelah tiga kali menghadapi banjir tahun lepas, kali ini apabila air mulai naik, mereka datang sendiri ke PPS ini sekali gus memudahkan urusan kami untuk membantu menguruskan mereka dan salurkan bantuan sebaik mungkin," katanya.
Segamat menjadi daerah paling teruk terjejas banjir di Johor kali ini. Berdasarkan data oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah setakat tengah malam tadi, sebanyak 21 PPS telah dibuka dan dihuni oleh 1,801 mangsa daripada 504 keluarga. - Bernama