SPRM siasat lebih 100 syarikat kes seleweng dana RM194 juta

Iklan
Ahmad Khusairi

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melakukan siasatan terhadap lebih 100 syarikat berkaitan kes penyelewengan membabitkan dana kerajaan bernilai RM194 juta yang diperuntukkan untuk membantu rakyat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, menerusi kerjasama dengan kementerian terlibat dalam operasi khas membabitkan kes terbabit sepanjang tahun 2022, agensi itu menangkap seramai 133 individu terdiri daripada pemilik dan pengarah syarikat.

Iklan
Iklan

"Sehingga hari ini seramai 34 pemilik atau pengarah syarikat telah didakwa di mahkamah atas kesalahan mengemukakan tuntutan palsu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ahmad Khusairi berkata, dana diseleweng itu antara lain diperuntukkan bertujuan bagi menangani isu kehilangan pekerjaan dan masalah perniagaan yang berhadapan dengan kesukaran untuk terus kekal dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

Iklan

Beliau berkata, nilai integriti dilihat semakin pudar dalam kalangan segelintir syarikat yang dipertanggungjawabkan membantu kerajaan untuk menyalurkan dana atau bantuan kepada golongan memerlukan.

Katanya, kumpulan terbabit secara terang-terangan mengambil kesempatan antaranya dengan membuat tuntutan palsu bagi memperoleh dana disediakan kerajaan untuk kekayaan sendiri.

Iklan

"Inilah satu bentuk ketirisan harus diperbetulkan kerajaan. Tiada guna dasar yang cantik tetapi pelaksanaan yang gagal.

Katanya, antara kekurangan dikesan dalam pelaksanaan penyaluran dana tersebut adalah kelemahan dalam proses semakan terhadap ketulenan maklumat dikemukakan pemohon sama ada individu, syarikat atau pertubuhan sehingga menyebabkan berlakunya tuntutan bertindih daripada beberapa syarikat dimiliki oleh individu sama.

Selain itu, beliau berkata, isu darurat juga digunakan sebagai alasan untuk tidak membuat usaha wajar atau due diligence terhadap pemohon dengan menyifatkan proses tersebut sebagai karenah birokrasi.

"Seterusnya, tiada mekanisme jelas untuk memantau program atau aktiviti yang sedang dijalankan untuk memastikan ia benar-benar dilaksanakan dengan jumlah peserta yang tepat.

"Agensi hanya bergantung kepada laporan program atau aktiviti yang dikemukakan pemohon sahaja.

"Selain itu, kelemahan turut dikesan adalah ketiadaan peraturan dan undang-undang jelas untuk diambil tindakan terhadap pemohon seperti senarai hitam, saman sivil dan tuntutan semula dana yang tidak dibelanjakan,” jelas beliau.

Ahmad berkata, agensi yang menerima penyaluran dana bagi bantuan kerajaan perlu sentiasa dipantau dan bukan dinilai semata-mata dengan aspek petunjuk prestasi utama (KPI) berasaskan kuantiti, tetapi turut meliputi impak program dijalankan.

Pada masa sama, beliau berkata, SPRM pada tahun ini akan memberikan tumpuan terhadap isu ketirisan dan penyelewengan dana berkaitan bantuan kerajaan termasuk dalam sektor sumber manusia, kebajikan, automotif, pendidikan dan pengajian tinggi, penternakan, pertanian dan perladangan.