JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di negeri ini mula menunjukkan penurunan selepas empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Kluang ditutup pada jam 2 petang Khamis.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, empat PPS itu melibatkan Balai Raya Batu 6, Seri Lalang; Balai Raya Kampung Muhibbah, Paloh; Balai Raya GSA Chamek dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJCK) Ping Ming.
Bagaimanapun menurut beliau, masih terdapat lapan PPS di Kluang yang menempatkan 1,176 mangsa banjir daripada 323 keluarga.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, secara keseluruhan di negeri ini terdapat 5,476 mangsa banjir daripada 1,510 keluarga masih ditempatkan di 56 PPS.
"Ini berbeza dengan 5,528 mangsa banjir yang ditempatkan di 58 PPS di seluruh Johor setakat jam 8 pagi tadi," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Azmi berkata, hanya dua jalan ditutup ketika ini melibatkan Jalan Nitar Timur-Pengakalan Batu dan Jalan Tanah Abang ditutup di Mersing untuk semua kenderaan kerana banjir naik setinggi 0.5 meter.
Katanya, selain itu di Mersing, Jalan Mohd Aris sudah dibuka kepada kenderaan ringan, manakala Jalan Johor Bahru-Kuantan dibuka untuk kenderaan berat.
"Sementara di Kota Tinggi pula, Jalan Mawai Lama, Jalan Tanjung Sedili dan Jalan Johor Bahru-Endau dibuka untuk kenderaan berat sahaja dan Jalan Loh Heng-Mawai-Sungai Mas dibuka untuk kenderaan ringan," katanya.