KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menyita 25 motosikal termasuk kereta pada Ops Khas Motosikal sempena Ops Tahun Baharu Cina 2023 di Jalan Pasir Hor, Padang Enggang di sini pada Rabu.
Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 18 motosikal dan lima buah kereta telah disita kerana melakukan kesalahan berkaitan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan pemandu warga asing.
"Pada masa sama, kita turut mengeluarkan 320 notis saman kepada pesalah lalu lintas. Notis saman itu meliputi pelbagai kesalahan, antaranya ialah LKM, lesen memandu, dan lain-lain kesalahan teknikal.
"Hasil operasi pada malam tadi juga, Jabatan Imigresen Malaysia telah menahan dua orang warga asing yang melakukan kesalahan menduduki melebihi tempoh yang ditetapkan," katanya semasa dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Menurut beliau, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut membuat saringan air kencing ke atas pemandu serta mengesan tiga individu positif dadah.
Ujarnya, polis turut mengeluarkan 26 notis saman kepada pemandu yang melakukan kesalahan trafik sementara Jabatan Alam Sekitar (JAS) pula mengeluarkan satu notis kepada pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan ubah suai ekzos mengeluarkan bunyi yang dihadkan.
Dalam perkembangan lain, Mohd Misuari berkata, fokus operasi adalah bertujuan untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pemandu dan pemilik kenderaan motor yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Kaedah-kaedah di bawahnya.
"Selain itu melalui Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat pihaknya telah melaksanakan advokasi dengan memberi topi keledar, baju keselamatan dan pelekat keselamatan pantulan cahaya pada pemilik motosikal.
"Ia bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya dari aspek kecerahan dan kebolehlihatan dalam suasana yang samar dan gelap," katanya.