‘Disebabkan video Bella, saya diugut bunuh setiap hari’

Iklan
Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis bagi perbicaraan kes yang di hadapinya berhubung pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella berusia 13 tahun. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali memberitahu Mahkamah Sesyen, di sini pada Khamis bahawa dia dikecam dan diugut bunuh setiap hari disebabkan video kanak-kanak perempuan sindrom Down, Bella.

Semasa membaca pernyataan saksi di hadapan Hakim Izralizam Sanusi, Siti Bainun, 31, berkata, dia hilang pekerjaan dan perniagaan makanan yang diusahakan selepas dipulaukan.

Iklan
Iklan

Dia yang hadir tanpa diwakili peguam berkata, tindakan saksi pendakwaan pertama, Zurianty Sudin, 40, menyebarkan video Bella yang disunting turut menyebabkannya hilang segala-galanya.

"Ketika mendapatkan rawatan di hospital, ada juga jururawat yang cuba membahayakan saya sehingga peguam terpaksa masuk campur untuk pastikan keselamatan saya,” katanya.

Iklan

Dia yang menangis ketika membaca pernyataan saksi itu berkata, perasaan curiga mula timbul apabila Zurianty merakam dan menyebarkan video itu kerana pembantu pengurus kewangan sebuah syarikat swasta itu tidak pernah mengambil tahu tentang Bella.

Sebelum ini katanya, Zurianty tidak pernah bertanya, ambil tahu, jaga, mandikan, suap atau bermain dengan Bella.

Iklan

Sekiranya Zurianty berniat mahu menyelamatkan Bella, wanita itu berkata, tiada keperluan untuk rakannya ini bertindak dengan membabitkan banyak pihak serta menggunakan sentimen anak orang kurang upaya (OKU) didera, semata-mata mahu mendapatkan perhatian masyarakat.

"Ia juga membantu Mona Din (aktivis) membangkitkan kemarahan netizen untuk membenci saya.

"Sedangkan Zurianty tahu kesannya, saya akan dihina dan dicemuh oleh rakyat Malaysia yang tidak pasti akan kebenaran,” katanya.

Mengulas lanjut, Siti Bainun berkata, lebih membingungkan apabila pegawai penyiasat mengatakan, tiada keperluan untuk melihat dan mendengar video tular itu.

Dia berkata, sekiranya pegawai penyiasat menyiasat video dan membuat transkrip berkenaan, ia tidak memprejudiskan perbicaraan dan penyiasatan terhadapnya.

Meskipun diperlakukan sedemikian, Siti Bainun berkata, tiada sebab untuknya bergaduh dengan Zurianty.

"Selepas kes ini tular, saya masih bersangka baik dan kerana tidak suka bermusuh," katanya.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja sama.

Pada 24 November tahun lalu, Siti Bainun diperintah untuk membela diri atas dua pertuduhan tersebut.