KLUANG - 'Kami memang dah bersedia, dah tak hairan bila (berlaku) banjir," kata seorang penduduk Kampung Sembrong, Rihana Zakaria, 58, yang sudah lali apabila kerap berdepan bencana itu.
Kampung Sembrong, Kampung Baru SC dan Kampung Baru di sini dilanda banjir sejak 23 Januari lalu menyebabkan penduduk ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil bermula Selasa lalu.
Ketika tinjauan ke PPS berkenaan pada Khamis, dimaklumkan seramai 250 mangsa banjir daripada 68 keluarga dari tiga kampung itu telah berada di PPS sejak dibuka sekitar jam 4.30 petang, Selasa lalu.
Menurut Rihana, masalah banjir yang telah berlarutan sejak sekian lama itu membuatkan mereka sentiasa bersedia setiap kali hujan lebat berterusan seperti hari ini.
Dia berkata, setiap awal tahun, kebanyakan penduduk sudah pun bersiap sedia dengan melakukan persiapan awal seperti memindahkan barang-barang berharga ke tempat yang selamat.
"Setiap kali awal tahun, kita memang bersedia untuk hadapi banjir. Kampung ini pun tepi sungai, jadi bila hujan lebat tambahan pula berterusan begini," katanya.
Malah katanya, ada juga penduduk yang melakukan pengubahsuaian rumah dengan meninggikan rumah masing-masing.
"Bila rumah sudah tinggi tapi air di sekeliling rumah pula yang dalam, macam laluan keluar kat kampung ini ada air yang sampai paras pinggang.
"Setakat ini walaupun air naik sampai paras betis di keliling rumah, namun tak ada pula binatang-binatang macam ular, biawak yang masuk ke rumah,” katanya.
Penduduk Kampung Baru SC, Azizah Mohamed, 65, pula berkata, dia serta keluarga memang telah bersedia bagi menghadapi banjir dengan meninggikan sedikit rumahnya.
Bagaimanapun, dia tetap akur berpindah ke PPS berkenaan apabila diarahkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa.
"Rumah saya memang dah tambak tinggi untuk halang air masuk tapi air di keliling rumah pula yang naik.
"Kalau ikutkan, tak perlu ke PPS pun, tapi air kat luar (keliling rumah) pula yang tinggi sampai paras pinggang.
"Sebab itu saya pun ikut saja arahan untuk pindah ke sini (PPS), takut pula kalau air boleh naik lagi sampai ke dalam rumah,” katanya.
Sementara itu bagi seorang lagi penduduk dari Kampung Baru SC, Rahimah Rahim, 46, banjir kali ini di luar jangkaannya dan menyebabkan dirinya agak kelam kabut menyelamatkan barang-barang berharga pada malam Selasa lalu.
Bagaimanapun katanya, mujurlah kesemua barang-barang berharga seperti perkakas elektrik serta dokumen-dokumen penting berjaya diselamatkan dengan meletakkannya di tempat tinggi.
"Saya memang dah biasa sebab selalu banjir di kawasan ini. Bila berlaku hujan, terutamanya pada waktu malam, saya dan keluarga akan bersiap sedia.
"Macam banjir kali ini saya tak jangka sebab jangka berlaku bulan 12 (Disember).
"Pada malam Selasa lalu, hanya saya dan anak-anak berada di rumah, suami pula keluar bekerja. Namun, saya dan anak-anak berjaya menyelamatkan barang-barang berharga sebelum berpindah ke PPS ini.
"Semalam (Rabu), saya balik sekejap bila dimaklumkan air banjir dah surut tetapi sebaik selesai mencuci kawasan rumah, hujan lebat sekali lagi dan saya datang semula ke PPS ini," katanya.