SEREMBAN - Sebanyak 201 notis saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan melalui pemantauan menggunakan dron sepanjang Op Selamat Tahun Baharu Cina.
Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, ia melibatkan kesalahan melanggar lampu isyarat merah dan memotong barisan.
"Sepanjang operasi kali ini, dua pegawai JPJ telah ditempatkan bagi mengawal dron berkenaan dan ia merupakan salah satu strategi JPJ untuk memantau kesalahan lalu lintas.
"Sebanyak (119) kesalahan gagal mematuhi lampu isyarat merah, (71) memotong barisan dan (11) lain-lain kesalahan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, penggunaan dron dilihat berkesan dan lebih mudah mengesan kesalahan dilakukan pengguna jalan raya.
Ujarnya, sekiranya didapati pemandu melakukan kesalahan, notis temu siasat di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan diserahkan kepada pemilik kenderaan untuk mengemukakan pemandu yang memandu kenderaan terbabit ketika kesalahan dilakukan.
"Ia amat membantu dalam mengesan kesalahan pemandu yang degil dan suka melakukan kesalahan yang menyebabkan kesesakan lalu lintas serta punca kemalangan khususnya di musim perayaan," katanya.
Sehubungan itu katanya, pihaknya merancang untuk memperluaskan lagi penggunaan dron dalam memantau pematuhan peraturan dan undang-undang berkaitan jalan raya dengan pertambahan jumlah dron dan pegawai JPJ yang terlatih mengendalikan dron.
Tambahnya, pihaknya berharap dengan penggunaan dron ini akan menjadi ‘Perception Of Being Caught’ (POBC) kepada semua pemandu untuk lebih berhemah ketika memandu dan mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelakkan tindakan tegas dikenakan.