Permohonan semakan kehakiman ibu bapa Beng Hock didengar 6 Jun

Iklan
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 6 Jun untuk mendengar permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapa mendiang Teoh Beng Hock bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka hampir 14 tahun lepas.

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly ketika dihubungi berkata, tarikh itu ditetapkan semasa pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar, Firdaus Sidqi Sharil Azli.

Iklan
Iklan

Teoh Leong Hwee, 75, dan isterinya Teng Shuw Hoi, 70, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 4 Januari tahun lepas, dengan menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, PDRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.

Pada 16 Jun tahun lepas, pasangan itu memperoleh kebenaran mahkamah untuk memulakan semakan kehakiman.

Iklan

Pasangan itu memohon deklarasi bahawa kegagalan responden pertama, kedua dan ketiga untuk melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka dalam jangka masa munasabah telah melanggari Seksyen 20(3) Akta Polis 1967.

Beng Hock ditemukan mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.

Iklan

Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Beng Hock pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga terlibat dalam kematiannya manakala pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian Beng Hock memutuskan bahawa kematiannya akibat membunuh diri.

Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali. - Bernama