Dua individu berjaya cabar peruntukan Akta Ekstradisi

Iklan
Seorang ahli perniagaan dan penganalisis komputer pada Khamis berjaya dalam saman mereka bagi mencabar peruntukan dalam Akta Ekstradisi 1992. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan dan penganalisis komputer yang dikehendaki Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) berhubung kes pengubahan wang haram dan jenayah siber di negara itu, pada Khamis berjaya dalam saman mereka bagi mencabar peruntukan dalam Akta Ekstradisi 1992.

Ini berikutan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membenarkan saman pemula difailkan Wong Ong Hua dan Ling Yang Ching selaku plaintif terhadap Pendakwa Raya, Menteri Dalam Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Amerika Syarikat sebagai defendan.

Hakim Wan Ahmad Farid dalam penghakimannya berkata, Seksyen 4 dan 20 Akta Ekstradisi 1992 adalah tidak berpelembagaan, terbatal, tidak sah dan tiada kesan kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Seksyen itu bertentangan dengan Perkara 4 (1) yang menyentuh mengenai undang-undang utama Persekutuan, Perkara 5 (1) dan 5 (2) (kebebasan diri) dan Perkara 8 (1) dan 8 (2) (kesamarataan) Perlembagaan Persekutuan.

"Seksyen itu juga didapati bertentangan dengan Perkara 9 (1) dan 9 (2) (Larangan buang negeri dan kebebasan bergerak) dan Perkara 121 (1) yang menyentuh mengenai kuasa kehakiman Persekutuan Perlembagaan,” katanya semasa menyampaikan keputusan itu secara dalam talian.

Prosiding itu disertai Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mewakili Pendakwa Raya, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia manakala Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar, Tey Jun Ren dan Khoo Suk Chyi mewakili kedua-dua plaintif.

Kedua-dua plaintif yang memfailkan saman itu pada 14 September 2021, mendakwa mereka telah ditahan polis melalui suatu Waran Pemberkasan Tanpa Perintah Menteri dan suatu permintaan ekstradisi dibuat oleh kerajaan AS.

Ong Hua dan Yang Ching mendakwa permintaan ekstradisi dibuat oleh defendan kelima (kerajaan AS) kerana mereka telah dituduh melakukan 23 kesalahan termasuk pencurian identiti, penipuan akses peranti, pelanggaran Akta Penipuan dan Penyalahgunaan Komputer serta pendaftaran nama domain secara salah.

Mereka juga mendakwa defendan-defendan telah menggunakan kuasa mereka di bawah Seksyen 4 dan 20 Akta Ekstradisi 1992 untuk menahan dan mengekstradisi mereka ke Amerika Syarikat.

Pada 15 September 2021, dua lelaki berkenaan memohon prosiding ekstradisi terhadap mereka di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara mereka memfailkan saman pemula itu dan mahkamah tersebut pada 9 Februari 2021, membenarkan Ong Huadan Yang Ching masing-masing diikat jamin RM500,000. - Bernama