SHAH ALAM - Iman tidak boleh dijadikan sebagai alat ukuran untuk rakyat menentukan kemampuan seseorang individu menjadi pemimpin negara.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) kelapan, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, ini kerana iman merupakan satu sifat yang berubah-ubah, boleh meningkat dan menurun.
"Kita tidak perlu nak kategorikan kurang iman atau lebih iman. Kadang-kadang kita pergi ke pasar, iman berkurang. Pergi ke pantai, tempat-tempat terbuka, iman makin kurang.
Beliau berkata demikian semasa Wacana Sinar edisi ke-381 bertajuk Dakwah Madani: Rahmah Bukan Telagah yang disiarkan secara langsung di platform Sinar Harian, pada Khamis.
Turut menjadi panelis, Yang Dipertua Yadim ketujuh, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad manakala Ismail Adnan sebagai moderator.
Program tersebut turut menyaksikan berlangsungnya acara Minggu Sambutan Ulang Tahun Yadim ke-49 yang diadakan di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam.
Dalam pada itu, mengulas mengenai keberkesanan institusi dakwah kepada masyarakat kini, Jamil berkata, perkara tersebut tidak dapat disebarkan dengan meluas memandangkan institusi dakwah yang terhad.
"Tetapi kita ini bukan sahaja bergantung kepada yayasan dakwah, majlis agama, jabatan agama dan sebagainya. Tugas ini (menyampaikan dakwah) adalah dari kita semua yang merupakan khalifah untuk membentuk ketamadunan masyarakat sekarang,” ujarnya.
Justeru beliau berkata, dakwah berkonsepkan madani telah diambil sebagai satu titik tolak dalam mewujudkan negara yang aman dan makmur.
"Madani ialah melahirkan masyarakat bertamadun, yang mempunyai kekuatan, membina manusia dengan pemikiran, kerohanian dan tidak lupa juga berkenaan pembangunan. Islam tidak menolak untuk membangunkan negara.
Jelasnya, pelbagai perkara perlu dilakukan untuk membangunkan masyarakat sehingga berjaya melahirkan masyarakat madani seperti yang digagaskan oleh kerajaan pada hari ini.
"Jadi akhirnya, kita adalah saling memerlukan untuk membangunkan negara dalam konteks madani. Apatah lagi yang berada dalam tugasan keagamaan,” ujarnya.