SHAH ALAM - Malaysia memperoleh kemenangan penting terhadap individu-individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu selepas Mahkamah di Luxembourg pada 24 Januari lalu mengetepikan perintah penahanan yang dipohon oleh pewaris berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perintah penahanan itu dipohon oleh 'penuntut' berkenaan pada 11 Julai tahun lalu.
"Malaysia telah membantah secara konsisten prosiding timbang tara yang dikatakan itu seperti telah dirancang oleh penuntut.
"Selain itu, Malaysia telah serta-merta membuat permohonan kepada Mahkamah Luxembourg untuk mendapatkan relif interim supaya perintah penahanan tersebut diketepikan.
"Pendengaran bagi permohonan itu telah berlangsung pada 5 Disember 2022 di hadapan hakim Mahkamah Luxembourg yang kemudiannya mengetepikan perintah penahanan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, waris Kesultanan Sulu telah mengemukakan permohonan bagi mengiktiraf dan menguatkuasakan perintah (final award) di Mahkamah Belanda terhadap aset-aset Malaysia di sana, termasuk rangkaian aset milik Petronas.
Justeru, Azalina berkata, keputusan Mahkamah Luxembourg berkenaan telah menjustifikasikan prinsip kerajaan untuk mempertahankan Malaysia di mana-mana forum bagi memastikan kepentingan, kekebalan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.
"Dalam hal ini, kerajaan akan terus berusaha untuk menamatkan segala tuntutan terhadap Malaysia," jelas beliau.