SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengambil alih operasi sistem digital pengambilan pekerja asing dan memperincikan strukturnya dengan serta-merta.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma), Dr Sukumaran Nair berkata, kerajaan juga perlu menamatkan polisi agensi pekerja asing dari negara sumber kerana didakwa tidak melakukan dengan cara yang teratur dan mengikut polisi sedia ada.
"Papsma membantah monopoli yang dipraktikan oleh segolongan agensi melalui sistem digital sedia ada dengan menggunakan sindiket-sindiket terdiri daripada agensi pekerjaan negara tersebut yang tertentu untuk mengeksploitasikan kemasukan pekerja asing khususnya dari Bangladesh.
"Walaupun beribu kelulusan telah diberikan namun pekerja yang sampai untuk bekerja adalah rendah jumlahnya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jelas beliau, disebabkan kerajaan mengambil berat tentang gejala rasuah dan monopoli golongan tertentu untuk mengeksploitasikan pekerja asing, Papsma menyeru agar sistem sedia ada dikaji dan distruktur semula secara terperinci mengikut undang-undang.
Papsma menyeru Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia supaya mengambil berat berkenaan etika dan polisi yang sedang dipraktikkan dalam pengrekrutan pekerja asing, selain menghindarkan mana-mana negara asing terlibat tidak mengganggu proses dan protokol negara yang kini pada tahap ketiga bawah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam sektor pengambilan pekerja asing.
Tambah Sukumaran, Papsma akan menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan bagi membendung sebarang aktiviti yang tidak diingini dalam proses pengambilan pekerja asing ke negara ini.
Jelasnya, ia sekali gus dapat menamatkan segala proses monopoli dan eksploitasi pekerja asing dari negara yang dibenarkan membekal kepada majikan di Malaysia.
"Papsma juga menyeru agar kementerian yang terlibat mengadakan sesi dialog dan perjumpaan agar berita dan informasi sebenar dapat diketahui oleh pucuk pimpinan kementerian.
"Kami juga menyokong perjumpaan dua hala yang akan datang di antara Malaysia dan negara-negara pembekal untuk mengadakan sesi perjumpaan bagi menyelesaikan masalah yang telah membantutkan dan melewatkan proses kemasukan pekerja asing ke negara Malaysia,” katanya.