PEMAIN perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia sekali lagi berdepan kekecewaan apabila tumbang pada pusingan kedua Indonesia Masters di Istora Gelora Bung Karno, Jakarta pada Khamis.
Zii Jia yang berstatus pemain nombor empat dunia yang tampil ke Siri Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Super 500 terpaksa akur kelincahan pemain dari Hong Kong, Ng Ka Long.
Pada perlawanan tersebut Zii Jia yang tanpa jurulatih selepas berpisah dengan Indra Wijaya, tewas dalam perlawanan selama 65 minit.
Pada set pertama, pemain kelahiran Alor Setar itu bermula cemerlang dengan menguasai permainan apabila menang 21-16 ke atas lawannya.
Bagaimanapun, Ka Long yang menduduki ranking ke-18 dunia kemudian tampil dengan semangat baharu kembali menyaingi Zii Jia untuk menang 22-20 sekali gus menyamakan kedudukan.
Pada set penentuan, Zii Jia yang juga pilihan kedua gagal kembali ke prestasi terbaik apabila ditinggalkan lawan dengan kekalahan 13-21.
Ini merupakan kekalahan ketiga berturut-turut pemain berusia 24 tahun itu dalam tempoh tiga minggu.
Zii Jia sebelum ini kecundang pada pusingan kedua Terbuka Malaysia awal bulan ini diikuti ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua Terbuka India minggu lalu.
Turut sama pulang awal, perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong gagal meloloskan diri ke pusingan suku akhir apabila tewas dalam pertarungan tiga set 21-19, 8-21, 17-21 kepada pemain India, Lakshya Sen.
Sementara itu, beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai mara ke suku akhir selepas menewaskan wakil Denmark, Mathias Thyrri-Amalie Magelund 21-19, 21-16.
Turut mengesahkan kemaraan adalah beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang menewaskan rakan senegara mereka, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien 21-13, 21-16.