HULU SELANGOR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kereta milik pasukan yang tular kerana diletakkan di kawasan parkir motosikal baru-baru ini telah dikenakan tindakan saman.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, kereta berkenaan merupakan milik Polis Kontinjen Johor yang sedang menjalankan urusan rasmi di lokasi terbabit.
Iklan
Iklan
"Polis Hulu Selangor terkesan satu hantaran di Facebook memaparkan kenderaan dipercayai milik PDRM diletakkan menyalahi peraturan lalu lintas iaitu di dalam kotak parkir motosikal.
"Hasil semakan mendapati, kenderaan terlibat merupakan kenderaan milik PDRM Kontinjen Johor yang datang ke Kuala Khubu Bharu atas penugasan rasmi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Suffian berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Hulu Selangor telah mengeluarkan saman trafik terhadap kenderaan terbabit.
Katanya, saman dikeluarkan di bawah Kaedah Lalu Lintas 16(1) LN 166/59 kerana membuat halangan lalu lintas.
"Pihak polis tidak berkompromi ke atas kesalahan yang dilakukan dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan atas mana-mana pelanggaran yang berlaku," ujar beliau.