SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melupuskan dokumen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi 22 kawasan Parlimen negeri Selangor selaras Peraturan 25E, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.
Pengarah Pilihan Raya Negeri Selangor, Shafie Taib berkata, semua dokumen yang digunakan pada PRU15 dilupuskan selepas tiada sebarang petisyen bantahan dibuat oleh parti politik yang bertanding dalam tempoh dibenarkan.
"Kebetulan di negeri Selangor, selepas 21 hari PRU15 diwartakan, tiada satu petisyen yang difailkan oleh mana-mana pihak, jadi kita uruskan pelupusan pada kadar segera,” katanya ketika ditemui selepas Program Pelupusan Dokumen PRU15 di Kompleks Karangkraf pada Khamis.
Turut hadir menyaksikan kerja pelupusan tersebut adalah Setiausaha SPR, Datuk Ikmalruddin Ishak; Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Pengarah Eksekutif Kumpulan Karangkraf, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi dan Ketua Pegawai Eksekutif Ultimate Print Sdn Bhd, Azizi Fickry.
Kerja-kerja pelupusan tersebut dijalankan melalui kaedah pembakaran di tempat khas bagi memastikan dokumen-dokumen berkenaan dimusnahkan dengan sempurna.
Sementara itu Pengurus Jualan Ultimate Print Sdn Bhd, Norhazrina Abd Hamid berkata, program berkenaan julung kali dilakukan bersama SPR.
"Menerusi program seperti ini, pegawai SPR yang terlibat dapat melihat cara kerja syarikat percetakan Ultimate Print agar mereka memahami operasi yang dilaksanakan.
"Selepas ini mungkin kita akan bekerjasama mencetak dokumen-dokumen berkaitan pilihan raya negeri seperti kertas undi dan borang daftar pemilih.
"Kami menawarkan perkhidmatan lengkap seperti pencetakan, pembungkusan dan sebagainya tanpa perlu sub kepada pihak ketiga,” ujarnya.
Katanya, Ultimate Print juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam urusan percetakan.