Bantah secara aman tindakan Islamofobia

Iklan
Tunjuk perasaan yang berlangsung di Kandahar, Afghanistan. - Foto EPA

BARU-BARU ini dunia digemparkan dengan tindakan pemimpin parti politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di Stockholm pada Sabtu.

Terbaharu muncul lagi seorang pelampau di Belanda yang mengoyak senaskhah al-Quran sebelum memijaknya dalam satu kejadian berhampiran Parlimen Belanda di The Hague.

Iklan
Iklan

Provokasi di Belanda itu menyusul selepas tindakan membakar senaskhah al-Quran di luar Kedutaan Turki di Stockholm, ibu negara Sweden pada Sabtu oleh Paludan.

Tindakan itu telah mendapat kecaman daripada pelbagai pihak khususnya negara-negara Islam yang mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan bersifat provokasi dan tidak beradab itu.

Iklan

Di Afghanistan dan Pakistan, ratusan penunjuk perasaan mengadakan protes mengecam tindakan Paludan itu.

Turkiye pula dilaporkan bertindak menangguhkan rundingan keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang sekali gus menjejaskan harapan negara Nordic untuk menyertai pakatan pertahanan Barat selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Iklan

Selain negara Islam lain, Malaysia juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia daripada ekstremis anti-Islam Denmark itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menggesa kerajaan Sweden supaya mengambil tindakan segera ke atas pelaku perbuatan keji itu selain memastikan langkah drastik di masa depan untuk menangani peningkatan Islamofobia yang membimbangkan di negara itu.

Baru-baru ini juga ramai pengguna di media sosial mengajak rakyat Malaysia untuk memboikot produk keluaran dari Sweden.

Tindakan boikot barangan adalah salah satu senjata perang psikologi yang boleh menekan kerajaan Sweden untuk mengambil tindakan kepada pelaku selain memohon maaf kepada seluruh umat Islam berikutan daripada tindakan provokatif ahli politik pelampau tersebut.

Pada Khamis, Kementerian Luar telah memanggil Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Sweden untuk menegaskan kembali kecaman keras kerajaan Malaysia terhadap tindakan Paludan.

Kementerian telah menyampaikan bantahan dan kekecewaan Malaysia terhadap keengganan berterusan oleh pihak berkuasa Sweden untuk mengambil tindakan ke atas lelaki tersebut.

Pada hari ini, Dewan Ulama Pas menyeru umat Islam di negara ini bersolidariti bagi membantah penghinaan terhadap agama Islam susulan insiden membakar al-Quran berkenaan.

Bantahan itu akan bermula dengan perarakan dari KLCC ke Kedutaan Sweden pada Jumaat bagi menyatakan bantahan tersebut.

Bagaimanapun dalam ketegasan mendesak kerajaan Sweden untuk mengambil tindakan terhadap pelaku, umat Islam sewajarnya memberikan contoh dan akhlak yang baik dengan tidak memaki hamun atau melakukan perbuatan provokatif.

Biarkan pelampau itu dengan kejahilannya namun janganlah kita bersikap dan bertindak sama seperti mereka.

Sebaliknya kita sebagai umat Islam perlu menunjukkan akhlak yang baik dengan membuat bantahan secara aman, tidak melakukan penghinaan dan berusaha memberi kefahaman kepada bukan Islam bahawa Islam adalah agama yang damai dan cintakan keamanan.

Justeru, umat Islam perlu memprotes dan membuat bantahan secara berhemah, selain mendoakan kebaikan agar kebenaran Islam akan terus terserlah di seluruh dunia di samping memberi keinsafan kepada pihak pelampau berkenaan untuk terbuka hati memohon maaf kepada seluruh umat Islam atas kesalahan yang dilakukan.

Ini bagi menunjukkan bahawa sebenarnya Islam itu adalah agama yang cintakan kedamaian, tidak memupuk kebencian serta mengajar manusia berbuat baik sesama manusia bukan sahaja dengan saudara seagama malah kepada orang bukan Islam.