TARIKH 17 April 2010, menjadi detik yang paling sukar dilupakan buat seluruh ahli keluarga Abdillah Murah Md Shari atau lebih dikenali dengan nama Achik Spin.
Dan semalam, genap sembilan tahun pemergian Allahyarham akibat kemalangan jalan raya.
Allahyarham ketika dalam perjalanan pulang menjemput isterinya, HM Rose Zaitul Suriani Wati Maarof serta dua cahaya matanya, Puteri Nur Sumayya dan Puteri Nur Sayyia selepas selesai menjalani rakaman program televisyen.
Bagi isterinya yang mesra disapa dengan panggilan Tasha, pemergian Allahyarham sememangnya tiada pengganti.
"Hari ini genap sembilan tahun permergian arwah suamiku. Perginya tiada pengganti...
"Terima kasih kepada peminat-peminat arwah di atas ingatan dan doa kalian. Al Fatihah," tulisnya di Instagram.
Sementara itu, adik Allahyarham, yang juga penyanyi, Tajul, turut mencoretkan ingatan atas pemergian abang tersayang.
"Dah 9 tahun banchik tinggalkan keluarga. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Aminn. Al-Fatihah," ujarnya. Achik yang merupakan vokalis kumpulan Spin, turut popular sebagai rakan duet penyanyi, Siti Nordiana.
Antara lagu-lagu popular Allahyarham adalah Mengusung Rindu, Terasa Jiwa Terseksa, Gurauan Berkasih, Memori Berkasih dan banyak lagi.