SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa agar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi direhatkan daripada tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri agar tidak mengganggu proses perbicaraan mahkamah berkaitan kes yang dihadapinya.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan itu bagi memastikan perbicaraan yang masih berlangsung, berkaitan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Presiden UMNO itu dapat diselesaikan tanpa kelewatan atau gangguan.
"Ia berikutan permohonan yang difailkan Ahmad Zahid kepada pihak mahkamah untuk pasport beliau dikembalikan secara kekal, walaupun dokumen itu sebelum ini telah diserahkan bagi mematuhi syarat ikat jamin perbicaraan yang masih berlangsung.
"Dalam permohonannya, Ahmad Zahid mendakwa beliau telah diberi mandat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewakilinya dalam beberapa urusan pentadbiran negara, selain bagi melancarkan pergerakan, urusan dan tugasan selaku Timbalan Perdana Menteri, yang dikehendaki berada di dalam dan luar negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ahmad Faizal berkata, walaupun ia menjadi kuasa mutlak hakim untuk memulangkan pasport berkenaan, namun bidang tugas yang dipegang oleh Ahmad Zahid dalam pentadbiran ketika ini akan memberi kesan kepada kuasa bidang kehakiman untuk menjamin perbicaraan yang efisien, lancar serta tanpa penangguhan.
"Ia adalah satu penghinaan kepada majoriti pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang mengharapkan sebuah kerajaan bersih, telus dan berintegriti,” ulasnya.
Ahmad Faizal berkata, pendekatan terbaik bagi menangani isu itu adalah dengan Perdana Menteri bertegas supaya Ahmad Zahid direhatkan sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi memberi fokus kepada proses perbicaraan mahkamah.
"Tindakan itu bagi menjamin sistem kehakiman negara yang bebas dan adil, selain menjamin perbicaraan yang telus tanpa sebarang campur tangan dan penangguhan,” katanya.