Bekas pegawai khas ADUN ditemui meninggal dunia dalam kereta

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki tempatan yang merupakan bekas pegawai khas mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, ditemukan meninggal dunia akibat sakit jantung di dalam sebuah kereta berhampiran lampu isyarat Persiaran As Salam, Bukit Sentosa, Rawang, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada orang awam berkenaan lelaki berusia 52 tahun itu yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kenderaan dipandunya pada 5.14 pagi.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun Suffian tidak mendedahkan nama mangsa berkenaan.

"Hasil siasatan polis mendapati mangsa bekerja sebagai pemandu lori dan merupakan bekas pegawai khas mantan ADUN Batang Kali, Datuk Mohd Isa Abu Kassim yang dipercayai mahu pulang ke rumahnya di Perumahan Anggerik Bukit Sentosa.

Iklan

"Semasa kejadian, mangsa sedang memandu kenderaan jenis Proton Exora dan dipercayai telah mendapat serangan sakit jantung sehingga kenderaan yang dipandunya terbabas di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pegawai perubatan telah hadir ke lokasi kejadian dan mengesahkan kematian mangsa.

Iklan

"Mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian si mati adalah disebabkan serangan jantung,” katanya.

Suffian berkata, siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku dan kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut serta menasihati masyarakat supaya berhati-hati dan memandu hanya ketika dalam keadaan sihat. - Bernama