Pengutip besi buruk dihukum gantung sampai mati

Iklan
Saravanan dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Ipoh pada Jumaat selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana membunuh seorang pengawal keselamatan.

IPOH - Seorang pengutip besi buruk dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada Jumaat selepas didapati bersalah membunuh pengawal keselamatan, lapan tahun lalu.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis menjatuhkan hukuman itu terhadap R Saravanan, 41, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas K Gobi Nathan, 44, di belakang sebuah restoran, Laluan Klebang Restu 2, Medan Klebang Restu, Chemor antara jam 12 tengah hari hingga 1 petang pada 5 Julai 2015.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam, T Vijayandran.

Saravanan dilihat mengalir air mata menoleh ke belakang memandang wajah ahli keluarganya sebaik hukuman ditetapkan dan sempat memeluk ahli keluarganya sebelum dibawa keluar ke lokap.

Iklan

Media melaporkan seorang pengawal keselamatan ditemui mati dengan kesan tujuh tetakan di kepala dan kedua-dua belah tangan akibat diserang dua lelaki bersenjatakan parang di sebuah lorong dekat Laluan Klebang Restu di sini.

Mangsa dikatakan datang ke kawasan itu untuk membeli barangan keperluan di sebuah kedai, sebelum dikejar seorang daripada suspek itu hingga ke lorong berkenaan.

Siasatan awal mendapati mangsa berusaha melarikan diri dalam keadaan berlumuran darah berikutan polis menemui kesan darah sejauh 80 meter dari lokasi mayat mangsa ditemui.