KUALA LUMPUR - Hari kesembilan Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina di seluruh negara mencatatkan 1,440 jumlah kemalangan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, statistik kemalangan pada 26 Januari (Khamis) itu membabitkan 1,750 kenderaan.
"Mengikut pecahan, kereta adalah tertinggi dengan 1,173 iaitu 67.02 peratus diikuti motosikal dengan 270 (15.43 peratus) dan pacuan empat roda dengan 191 (10.91 peratus).
"Lori pula melibatkan 65 buah (3.71 peratus), van dengan 1.71 peratus atau 30 buah, bas (12 atau 0.68 peratus), teksi 0.3 peratus (5 buah) dan selebihnya lain-lain kenderaan," katanya pada Jumaat.
Tambah Mat Kasim, JSPT menasihatkan agar semua pengguna jalan raya untuk kekal berhati-hati dan berhemah agar risiko kemalangan dapat dielakkan.
Op Selamat 19 ini akan berjalan selama 10 hari mulai 18 sehingga 27 Januari 2023 secara serentak di seluruh negara.
Pada 13 Januari lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain merasmikan Pelancaran Op Selamat 19 Tahun Baharu Cina di Restoran Jejantas, Ayer Keroh, Melaka (arah selatan), Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
Dengan mengekalkan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus menumpukan usaha untuk meminimumkan kemalangan jalan raya dan meningkatkan kawalan pencegahan jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan.