PEMAIN tengah remaja Liverpool, Stefan Bajcetic tidak menyangka mampu memikat The Reds untuk mengikat kontrak jangka panjang bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Pemain berusia 18 tahun itu menjejak kaki di Anfield dari Celta Vigo pada akhir 2020 dan bertekad untuk segera menembusi pasukan utama The Reds.
"Amat gila jika memikirkan seberapa cepat ia berlaku,” katanya dalam laman web rasmi Liverpool.
Bajcetic mula berlatih bersama skuad senior Liverpool menjelang musim 2022/23 dan sudah membuat 10 penampilan bersama pasukan itu sepanjang musim ini.
Prestasi cemerlangnya sepanjang musim pertama menyaksikan dia diberikan kontrak baharu untuk terus bersama skuad kendalian Jurgen Klopp itu.
Bagaimanapun tidak dinyatakan tempoh kontrak tersebut.
"Setahun lalu, saya hanya mewakili pasukan B-18 dan sudah memulakan beberapa perlawanan serta melakukan penampilan pertama.
"Saya juga sudah menjaringkan gol. Ia sesuatu yang tidak pernah saya jangka akan berlaku tahun ini. Amat luar biasa untuk melihat betapa cepat ia berlaku,” katanya.
Bajcetic beraksi buat kali pertama bersama skuad senior Liverpool ketika The Reds membenam Bournemouth 9-0 dalam kancah EPL Ogos lalu.
Dia kemudian membuat beberapa penampilan lagi dalam saingan liga utama selain turut menjadi penjaring gol ketika berdepan Aston Villa pada Boxing Day.
Liverpool dijadualkan beraksi dalam pusingan keempat Piala FA menentang Brighton hujung minggu ini.