SHAH ALAM - Tindakan untuk menarik balik permohonan semakan dan permintaan tafsiran ke atas keputusan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah tidak teratur dan tidak wajar, kata Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.
Menurut Idrus, kerajaan berpendapat sedemikian selepas Laporan Pasukan Petugas Khas berhubung perkara tersebut dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Januari lalu.
"Bagaimanapun, kerajaan menghormati keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap kes berkenaan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.
"Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji syor-syor yang dibuat oleh Pasukan Petugas Khas tersebut termasuk isu berkaitan dengan tort misfeasans (tort of misfeasance in public office) dan akan mengambil tindakan yang perlu bagi melaksanakan putusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jelasnya lagi, isu Batu Puteh merupakan isu yang sangat penting kerana ia melibatkan kepentingan strategik dan kedaulatan negara.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Idrus diarahkan untuk segera mengadakan rundingan dengan Singapura berhubung tuntutan Pulau Batu Puteh.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Pulau Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia selain memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Malaysia memfailkan permohonan semakan pada 2 Februari 2017 dan pada 30 Jun tahun sama, memohon supaya mahkamah mentafsirkan penghakimannya berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.
Pulau Batu Puteh juga dikenali sebagai Pedra Branca oleh Singapura merupakan pulau kecil berkeluasan 8,560 meter persegi.
Pulau Batu Puteh hari ini mempunyai rumah api, helipad, loji penyahgaraman dan lebih penting lagi stesen penyiaran semula tentera.