BINTANG baharu Tottenham Hotspur, Arnaut Danjuma menyifatkan perpindahan secara pinjaman ke kelab London itu kembali membuka peluang kepada pemain sayap tersebut untuk lebih menyerlah dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Malah tanpa berselindung pemain berusia 25 tahun itu mengakui tidak memerlukan masa untuk menerima tawaran daripada skuad kendalian Antonio Conte tersebut.
"Sejujurnya ia merupakan satu peluang yang amat menakjubkan, dan saya sangat gembira serta bertuah apabila dapat berada di sini.
"Ia adalah kelab yang besar, jurulatih yang cemerlang, kakitangan yang cemerlang, kelab yang cemerlang, kemudahannya jelas sukar dipercayai jadi bagi saya saya sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada pasukan.
"Saya sangat tidak sabar untuk bekerja dengan pengurus (Antonio Conte). Dia mempunyai begitu banyak pengalaman. Bagi saya, sebagai pemain yang sedang membangun, ia hanya hebat. Ia memberi saya peluang untuk belajar dan menjadi antara yang hebat," katanya.
Tottenham sebelum ini mengesahkan merekrut pemain kelahiran Belanda tersebut dari kelab LaLiga Sepanyol, Villarreal sehingga akhir musim ini.
Danjuma yang menjadi pembelian pertama Conte pada jendela perpindahan Januari telah menjaringkan enam gol dalam semua pertandingan bersama The Yellow Submarine kendalian Quique Setien tersebut musim ini.
Jaringan itu menjadikan jumlah gol terkumpul sepanjang menyarung jersi kelab tersebut secara keseluruhan kepada 22 gol setelah mengharungi 51 perlawanan.
Ketibaan Danjuma secara tidak langsung meningkatkan pilihan serangan Conte, dengan Son Heung-min, Dejan Kulusevski, Richarlison dan Lucas Moura masing-masing mengalami kecederaan musim ini.
Danjuma, yang akan berusia 26 tahun minggu depan boleh beraksi di posisi hadapan, menghabiskan dua tahun di England bersama Bournemouth antara 2019 dan 2021.
Semasa dia menggalas cabaran Cherries dalam Liga Kejuaraan, dia bergelut dan gagal menjaringkan gol dalam 14 penampilan.
Perpindahan ke LaLiga pada 2021 terbukti berjaya memberi impak apabila Danjuma memainkan peranan penting dalam perjalanan Villarreal ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu, menjaringkan 16 gol dalam semua pertandingan.
Danjuma berpeluang untuk melakukan penampilan pertama bersama Tottenham yang akan berkunjung ke
Preston bagi perlawanan Pusingan Keempat Piala FA, awal pagi Ahad.