JOHOR BAHRU - Kapal tangki milik warga asing disyaki dalang yang menyebabkan tumpahan minyak di perairan Tanjung Balau dan Batu Layar, dekat Kota Tinggi, semalam.
Pengarah Jabatan Laut Wilayah Selatan Dickson Dollah berkata berdasarkan imej satelit, pihaknya mendapati terdapat beberapa buah kapal berlabuh di perairan itu selama dua hari sejak 14 April.
"Lebih dari satu (kapal dilihat melaui imej satelit), malah imej satelit boleh lihat balik rekod tiga hari lepas mahupun lebih dari tempoh itu.
"Kita juga percaya mereka sengaja membuang minyak jenis Marine Fuel Oil (MFO) pada waktu malam supaya tidak diketahui pihak berkuasa,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi sebentar tadi, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kapal-kapal berkenaan dipercayai telah melarikan diri ke perairan negara jiran dan buat masa ini, operasi bagi mengesan kapal-kapal berkenaan belum dilakukan dan pihaknya akan meminta bantuan daripada agensi lain berhubung perkara itu.
"Belum dapat dipastikan (berapa banyak kapal) kerana kita hanya syak sahaja berdasar imej satelit 72 jam yang lepas.
"Kalau mereka sudah disahkan buang minyak dan berjaya ditangkap, boleh didenda di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.
Sementara itu, Dickson berkata, berdasarkan analisa, tumpahan minyak yang dikesan petang semalam oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia itu melibatkan sebanyak 300 tan minyak MFO, membabitkan lokasi tercemar seluas empat batu nautika dari kawasan pesisir pantai.
"Kerja pembersihan telah mula dilakukan pada 6 pagi tadi dan mungkin ambil masa selama tiga atau empat hari untuk dibersihkan.
"Bot Al Nilam dengan 12 anggota lakukan pembersihan manakala enam lagi anggota melakukan pemantauan,” katanya.
Tambahnya, pembersihan dilakukan dengan menggunakan absorbent boom memandangkan tumpahan minyak semakin menipis.
Semalam, Jabatan Laut Wilayah Selatan dan bot ronda APMM dilaporkan menemui tumpahan minyak sepanjang kira-kira satu kilometer di perairan Tanjung Balau dan Batu Layar, kira-kira 3 petang semalam. - Bernama