SHAH ALAM - Kerajaan perlu memberi penjelasan secara berkala kepada rakyat berhubung perkembangan aset Tabung Haji (TH) yang dipindahkan kepada syarikat tujuan khas (SPV).
Profesor Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Prof Dr Noor Azlan Ghazali berkata, langkah itu perlu supaya rakyat tidak berasa terpedaya dengan tindakan drastik yang diambil itu.
Katanya, SPV yang dimiliki Kementerian Kewangan itu turut menimbulkan keraguan ramai pihak apabila ia tidak lagi dianggap bebas.
"Setiap tiga atau enam bulan kerajaan perlu membuat penjelasan tentang apa yang terjadi kepada nilai aset-aset (yang dipindahkan kepada SPV).
ARTIKEL BERKAITAN: SPV TH bawah kendalian Mujahid: Guan Eng
"Perjelaskan supaya mereka tidak berasa terpedaya atau ada perasaan ragu-ragu dengan apa yang bakal terjadi kepada aset strategik yang dipindahkan kepada pihak lain (Kementerian Kewangan) yang diuruskan oleh bukan Islam,” katanya pada Wacana Sinar Harian ke-104 bertajuk Prestasi TH Buat Rakyat Risau di Dewan Karangkraf di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) dan Profesor dan Mantan Dekan, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya (UM), Prof Dr Mohd Nazari Ismail.
Menurutnya lagi, rakyat khususnya umat Islam sememangnya akan mengikuti rapat perkembangan aset TH yang diuruskan oleh SPV itu untuk melihat keberkesanan proses pemulihan yang dilakukan.
"SPV ini diwujudkan sebagai unit pemulihan untuk membetulkan kembali syarikat yang bermasalah, jadi pastinya rakyat inginkan yang terbaik,” katanya.
Disember tahun lalu, TH mengumumkan pelan pemulihan untuk memindahkan aset bernilai RM19.9 bilion kepada SPV di bawah Kementerian Kewangan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zukri Samat berkata, ia merangkumi harta hasil di bawah 2 peratus setahun seperti tanah yang dibeli daripada 1MDB pada 2015 dan ekuiti yang merosot 20 peratus sejak diambil alih TH, termasuk saham dalam Felda Global Ventures (FGV).