SHAH ALAM - Sebarang tindakan atau keputusan yang akan diambil terhadap pemimpin atau ahli UMNO didakwa mensabotaj parti dan calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu perlu berlandaskan bukti kukuh.
Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Dr Abd Rahman Bakri berkata, tindakan itu perlu bagi mengelak berlakunya penganiayaan terhadap mana-mana pihak.
"Bukti yang kukuh menunjukkan mana-mana pihak itu mengkhianati parti penting kerana kita mahu parti mengambil tindakan kepada mereka yang benar-benar salah," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memaklumkan akan ada pembersihan besar-besaran terhadap mereka yang mensabotaj parti dan calon pada pilihan raya umum lalu dan keputusan itu akan dibuat pada mesyuarat MKT pada malam Jumaat.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai pembersihan besar-besaran yang akan dilaksanakan UMNO, Abd Rahman berkata, secara dasarnya mana-mana parti juga akan mengambil langkah sama.
Ini kerana katanya, pemimpin atau ahli yang mengkhianati perjuangan parti perlu 'digugurkan' bagi memastikan usaha untuk memulihkan UMNO dapat berjalan seperti yang dirancang.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan Ahli MKT UMNO, Tan Sri Noh Omar menegaskan beliau sedia dipanggil lembaga disiplin parti dan rela dipecat sekiranya prinsip bersuara demi parti dianggap sabotaj.
Noh yang juga bekas Pengerusi UMNO Selangor turut mengesahkan beliau bersama empat pemimpin UMNO Tanjung Karang termasuk anaknya sendiri telah diberikan notis panggilan menghadap Jawatankuasa Pengurusan Lembaga Disiplin UMNO pada 30 Januari ini.