KOTA TINGGI -"Nak menangis pun dah tak boleh," ujar mangsa banjir, Nurul Syuhada Md Saad, 31, yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Penawar di sini pada Jumaat.
Nurul Syuhada yang tinggal Taman Desaru Utama berkata, perasaan sedih itu sukar digambarkan apabila melihat perkakas elektrik seperti peti ais dan perabot terapung dalam banjir di rumah.
"Saya pasrah, kerugian yang dialami kira-kira RM15,000," katanya ketika ditemui pemberita.
Dia yang ditempatkan di PPS berkenaan bersama-sama dua anak dan suaminya sejak Selasa menyifatkan banjir kali ini paling teruk.
Sabrina Wati Sabran, 39, dari Jalan Balau 2, taman berkenaan berkata, banjir kali ini mengakibatkan semua rumah di taman berkenaan ditenggelami air selepas hujan lebat sejak malam Isnin.
"Semasa hujan pada malam Isnin saya sudah menjangkakan banjir sekali lagi. Saya dan keluarga mula mengemas barang, mengalihkan tilam, perabot dan menyimpan dokumen penting pada jam 7 pagi Selasa.
"Tidak lama kemudian air naik lebih setengah meter dalam rumah manakala di jalan depan rumah naik sehingga hampir 1 meter. Kemudian saya serta dua anak berusia 13 dan 16 tahun bersama suami berpindah ke PPS ini," katanya.
Beliau yang merupakan kakitangan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) berkata, sejak tinggal di taman itu pada 2015 sudah tiga kali banjir iaitu pada Januari 2021, Disember 2022 dan bulan ini.
"Arus banjir terbaharu ini cukup deras sehingga merebahkan pagar jiran saya malah keretanya juga dibawa arus selang dua rumah.
"Banjir kali ini juga membawa sekali lumpur serta tanah," katanya.
Mohd Azmee Zainal Abidin, 37, dari Jalan Balau, taman sama mendakwa, banjir berlaku akibat keadaan perparitan yang tidak sistematik.
"Air dari parit di Taman Sri Penawar bersebelahan Taman Desaru Utama menjadi punca.
"Air dari parit di Taman Sri Penawar belum sempat masuk ke saluran utama tetapi masuk ke taman ini terlebih dahulu dan mengakibatkan banjir," katanya.
Menurutnya, masalah tersebut sudah beberapa kali diadukan kepada pihak berkenaan tetapi tiada tindakan dilakukan sehingga kini.