PUTRAJAYA - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keji mencemarkan al-Quran oleh pelampau anti-Islam, Edwin Wagensveld yang merupakan pemimpin berhaluan kanan di The Hague, Belanda pada 22 Januari.
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, Malaysia kecewa melihat perbuatan Islamofobia yang berulang hanya dalam beberapa hari meskipun mendapat kecaman global.
Malaysia mengulangi pendirian bahawa sifat perkauman dan sebarang bentuk penghinaan terhadap kitab suci, tanpa mengira agama adalah tidak boleh diterima sama sekali dan harus dikecam.
"Malaysia amat percaya bahawa hak kebebasan bersuara adalah bersekali dengan tanggungjawab tertentu dan tidak boleh disalah guna,” menurut Wisma Putra.
Malaysia menggesa semua pihak yang berkaitan untuk mengambil langkah-langkah untuk menggalakkan dialog, persefahaman, dan mempromosikan semangat hidup bersama secara aman dalam dunia yang berbilang agama dan budaya untuk mencapai keamanan dan keharmonian di kalangan masyarakat dunia yang pelbagai.
"Kami juga menyeru Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) untuk segera menangani isu yang membimbangkan ini dalam mencari penyelesaian yang terbaik dalam mempromosikan penghormatan dan perlindungan sepenuhnya ke atas kitab suci agama di seluruh dunia, menurut kenyataan itu,” menurut kenyataan itu.
Sebuah video di media sosial pada Isnin memaparkan aksi provokatif Wagensveld mengoyakkan beberapa halaman daripada salinan al-Quran di The Hague dan membakarnya dalam kuali.
Provokasi itu berlaku susulan insiden serupa Sabtu lalu ketika Rasmus Paludan, seorang ahli politik pelampau Sweden-Denmark bertindak membakar senaskah Al-Quran berhampiran Kedutaan Turkiye di ibu negara Sweden, Stockholm hingga mencetuskan kemarahan Turkiye dan di seluruh dunia. - Bernama