Pen Mutiara tetap bantah PSI selagi tak jumpa PM
Iklan
Ibrahim (duduk, dua dari kiri) bersama ahli Lembaga Pengarah Pen Mutiara ketika sidang akhbar di Batu Maung pada Jumaat.
BAYAN LEPAS - Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) tetap dengan pendirian tidak akan menerima sebarang tawaran daripada kerajaan Pulau Pinang berhubung pelaksanaan Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI) selagi tidak berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusinya, Ibrahim Che Rose berkata, pihaknya berharap Pejabat Perdana Menteri menyediakan slot untuk perjumpaan bagi membincangkan perkara tersebut.
Iklan
Iklan
Menurutnya, Pen Mutiara sudah mengutuskan surat berhubung pembatalan projek mega itu kepada Anwar dan menunggu untuk dipanggil untuk perjumpaan.
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, Pen Mutiara ada mengutuskan surat kepada Perdana Menteri berhubung pembatalan projek PSI. Bagaimanapun, kami belum dipanggil untuk menghadiri sebarang perjumpaan.
Iklan
"Buat masa ini, kami diberitahu jadual Perdana Menteri sangat padat dan kami pun faham. Oleh itu, saya tegaskan di sini, Pen Mutiara tetap dengan pendirian bahawa kami tidak akan terima sebarang tawaran daripada kerajaan Pulau Pinang selagi kami tidak berjumpa dengan Anwar," katanya ketika sidang akhbar di Batu Maung di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, Pen Mutiara telah mengutus surat kepada Anwar bagi menyatakan bantahan mereka terhadap Projek PSI.
Iklan
Persatuan itu berharap agar Anwar sudi mendengar keluh kesah lebih 6,000 nelayan di Pulau Pinang yang menentang projek tersebut.
Dalam pada itu, Ibrahim berkata, pihak persatuan berharap agar Anwar mengotakan janjinya yang mana, projek mega harus dibatalkan bagi melindungi sumber.
"Beliau sebelum ini juga pernah berkata ketika berjumpa kami kira-kira empat tahun lalu bahawa beliau tidak pernah tahu dalam mana-mana projek tambak laut secara besar-besaran di seluruh dunia nasib nelayan yang terlibat akan terjamin.
"Selain Anwar, Nurul Izzah juga pernah menggesa kerajaan Pusat dan kerajaan Pulau Pinang supaya membatalkan projek PSI serta-merta. Ini kerana, beliau menyifatkan projek tersebut telah tersasar daripada tujuan asalnya, lebih banyak menumpukan kepada kepentingan sesetengah pihak selain mengabaikan kelestarian alam sekitar serta menjejaskan punca rezeki golongan nelayan," katanya.
Dalam pada itu, Ibrahim berkata, kerajaan negeri dilihat sengaja ingin mengelirukan nelayan dengan membuat tawaran bayaran ex-gratia (saguhati), bantuan bot berserta enjin kepada nelayan tahap satu dan tahap dua bagi pelaksanaan Projek PSI.
"Dalam surat bertarikh 16 Disember 2022 yang kami terima, ada beberapa perkara yang dilihat sengaja mengelirukan nelayan kerana kami tidak bersetuju untuk menerima sebarang bayaran ex-gratia dan kami tetap dengan pendirian bahawa tidak akan bersetuju dengan Projek PSI.
"Selain itu, surat itu juga disifatkan berniat jahat kerana menyatakan bahawa pendaftaran untuk penerimaan tawaran ex-gratia itu tidak merupakan persetujuan kepada Projek PSI sedangkan penerimaan tawaran tersebut adalah untuk menunjukkan sokongan nelayan bagi projek tersebut," katanya.
Nelayan tahap satu dan dua di kawasan yang bakal dibangunkan PSI ditawarkan bayaran ex-gratia berjumlah antara RM20,000 hingga RM5,400 serta bantuan bot dan enjin serta pembinaan jeti nelayan lengkap bersama kemudahan, program pendidikan dan lain-lain.
Projek PSI yang sebelum ini dikenali sebagai Penang South Reclamation (PSR) adalah projek mega melibatkan tambakan bagi mewujudkan tiga pulau dengan keluasan 1,821 hektar di kawasan selatan Pulau Pinang.
Projek tersebut yang mula diperkenalkan pada 2015 merupakan modul pembiayaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion selepas SRS Consortium dilantik sebagai rakan pelaksana projek untuk PTMP pada 14 Ogos 2015.
PSI ditentang oleh banyak pihak antaranya Pen Mutiara dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar.
Dua tahun lalu, Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengetepikan kelulusan Ketua Pengarah JAS yang memberi kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) untuk PSI.
Keputusan Lembaga Rayuan JAS itu menyaksikan kelulusan EIA bagi projek berkenaan yang diperoleh pada 25 Jun 2019 adalah terbatal dan tidak lagi sah.
Susulan daripada itu, kerajaan Pulau Pinang mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga Rayuan JAS yang mengetepikan kelulusan Ketua Pengarah JAS terhadap Laporan EIA untuk Projek PSI.
Pengalaman berdepan situasi cemas di tengah laut termasuk menyelamatkan beberapa mangsa tragedi bot karam baru-baru ini membuatkan Pencipta kandungan atau YouTuber dikenali sebagai Mohd Khushairi Mohd Zuki lebih menitik beratkan soal keselamatan setiap kali turun memancing, lapor wartawan Sinar Harian, Mohd Iskandar Othman.
Berkongsi pengalaman bersama rakan menyelamatkan empat nelayan warga Indonesia yang terapung selama empat hari di tengah laut berhampiran Pulau Jarak pada Rabu lalu, Mohd Khushairi berkata, mereka bernasib baik kerana dapat berpaut pada tong ikan dan botol yang diikat pada badan masing-masing.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/698041/edisi/utara/youtuber-kongsi-pengalaman-selamatkan-empat-mangsa-bot-karam