KUALA LUMPUR - Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat bahawa, dia tidak pernah melayan penghuni rumah kebajikan itu seperti hamba abdi.
Siti Bainun, 31, berkata demikian semasa membaca membaca pernyataan saksi pada hari kedua prosiding bela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun dikenali Bella, pada 2021 lalu.
Dia yang memberi keterangan tanpa peguam berkata, anak-anaknya (penghuni Rumah Bonda) diajar untuk menguruskan diri sendiri, kecuali yang kanak-kanak yang masih kecil atau bayi.
Semua penghuni termasuk saksi pendakwaan kelima (SP-5), Yasmin Nahar Mahmood, 20, katanya, dilayan sama rata, bagaikan darah daging sendiri.
"Saya anggap Yasmin macam anak sendiri dan dia memang sayangkan saya serta adik-adik yang lain.
Ini kerana katanya, sama seperti ibu bapa lain, asas tanggungjawab di rumah seperti membasuh pinggan, menyidai pakaian, mengemas tilam dan menyapu sampah diterapkan kepada penghuni rumah itu.
Dia mula pelik apabila timbulnya isu hamba abdi namun beranggapan ia dibuat untuk menjejaskan karakternya di mahkamah.
Pada prosiding 15 April tahun lalu, mahkamah ditunjukkan 10 rakaman video yang mendakwa Siti Bainun melayan penghuni rumah kebajikan itu seperti ‘hamba abdi’.
Antara rakaman berkenaan ialah ketika sambutan hari lahir Yasmin pada 23 Februari 2021; Majlis Aidilfitri (Mei 2021) dan percutian di sebuah hotel di Ampang.
Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja sama.
Pada 24 November tahun lalu, Siti Bainun diperintah untuk membela diri atas dua pertuduhan tersebut.