INDONESIA. Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2019 berlangsung semalam menyaksikan pelbagai ragam dan senario rakyat negara itu bagi memilih presiden buat negara ketiga terbesar di dunia yang mengamalkan sistem demokrasi.
Bukan hanya petugas-petugas Kelompok Penyelenggara Pemungutan Suara (KPPS) tetapi masyarakat juga tampil mengundi undi dengan memakai kostum adiwira dan watak seram.
Di lokasi, Tempat Pemungutan Suara (TPS) Jalan Sepakat Kelurahan Pematang Kapau, Riau, nyata menarik perhatian masyarakat.
Penduduk, Ahmad Yani tampil memakai kostum Spider Man manakala Rizki dengan kostum watak Thor.
Mereka tanpa segan silu mengenakan kostum adiwira malah disambut baik oleh petugas TPS.
Kehadiran dua pemuda itu juga disenangi penduduk malahan ada sempat bergambar bersama.
Bukan itu sahaja, petugas KPPS di Jakarta Selatan juga tiada bezanya apabila menampilkan keunikan memakai kostum watak seram seperti drakula dan hantu.
Petugas, Andi Alfaqi berkata, dia mengenakan kostum drakula untuk menarik perhatian penduduk agar keluar mengundi.
Bagi Ketua TPS Gunung Balong, Adnan Yasin memberitahu, TPS tampil unik dengan tema hantu bertujuan meningkatkan jumlah peratusan keluar mengundi bagi Pemilu 2019.
"Kita mahu Pemilu 2019 lebih tinggi peratusan berbanding tahun 2014 sekitar 15 peratus," katanya. - Kompas