KAPTEN Skuad Harimau Malaya, Mohamad Faisal Abdul Halim menjadi satu-satunya pemain Malaysia disenaraikan dalam All-Star XI atau kesebelasan utama terbaik saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022.
Pemain sayap Selangor FC yang menjaringkan empat gol pada kejohanan dwitahunan itu juga berjaya menempatkan diri dalam kalangan tiga penyerang terbaik, demikian menurut hantaran Facebook rasmi Piala AFF, petang Jumaat.
Selain Mohamad Faisal, turut dipilih sebagai penyerang terbaik iaitu pemain Thailand, Teerasil Dangda dan Nguyen Tien Linh dari Vietnam yang berkongsi gelaran penjaring terbanyak selepas masing-masing mencetak keseluruhan enam gol.
Penjaga gol Vietnam, Dang Van Lam mengisi posisi penjaga gol terbaik sementara pemain pertahanan terbaik menjadi milik Kritsada Kaman dari Thailand, Sasalak Haiprakhon (Thailand), Jordi Amat (Indonesia) dan Doan Van Hau dari Vietnam.
Tiga pemain tengah terbaik pula menyaksikan dua daripadanya dari Thailand - Theerathon Bunmathan iaitu kapten pasukan dan Sarach Yooyen dan satu slot lagi diisi Nguyen Hoang Duc dari Vietnam.
Sebagai rekod, senarai All-Star XI Piala AFF 2022 berdasarkan undian peminat.
Thailand muncul juara Piala AFF 2022 dengan kemenangan agregat 3-2 ke atas Vietnam pada pertengahan bulan ini sekali gus merangkul gelaran ketujuh untuk melebarkan rekod pasukan paling berjaya dalam sejarah selepas memenangi edisi 1996, 2000, 2002, 2014, 2016 dan 2020. - Bernama