KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] "Daripada gantung baik pecat saya."
Demikian reaksi diberikan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar selepas parti itu mengumumkan penggantungannya selama enam tahun ketika mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada Jumaat.
Menurut bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu, permintaan pemecatannya itu diterima serta-merta oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Lain-lain semua diam (ahli MKT), Presiden (Ahmad Zahid) kata ok, kalau tidak pecat kita pecat la. ok dengan ini saya pecat Tan Sri (Noh).
"Pecat serta-merta, itu sebab saya keluar mesyuarat," katanya ketika bercakap kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat MKT di sini pada Jumaat.
Pemecatan Noh itu disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan selepas selesai mesyuarat MKT pada Jumaat.
Dalam pada itu, Ahli MKT UMNO, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, keputusan penggantungan Noh itu bukan disebabkan pendirian pemimpin itu berkaitan usul yang dibawa pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini.
Sebaliknya, beliau berkata, ia dilakukan kerana terdapat 16 pertuduhan terhadap Noh termasuk melibatkan tindakan sabotaj kepada parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.
Jelasnya, kesemua tuduhan berkenaan juga sudah dibuktikan dan dikaji serta disiasat oleh Lembaga Disiplin parti.
"Seperti yang kita ketahui, UMNO meletakkan Datuk Habibah Mohd Yusof untuk bertanding di Parlimen Tanjung Karang...kemudian ada calon bebas, yang juga pegawai khas Noh sendiri.
"Jadi adalah tidak benar sekiranya keputusan menggantung dibuat Lembaga Disiplin berdasarkan beliau tidak bangun menyokong usul (PAU) yang dibuat. Pendirian parti adalah kita mengamalkan demokrasi," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat MKT pada Jumaat.
Megat yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor berkata, Noh sudah diberi ruang untuk bercakap mengenai dakwaan tersebut termasuk diminta bertemu dengan Lembaga Disiplin sebanyak dua kali.
Katanya, walaupun semua setuju untuk meluluskan pemecatan Noh, bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang itu bagaimanapun masih boleh mengemukakan rayuan.
ARTIKEL BERKAITAN: Tidak tunduk dipecat daripada UMNO: KJ
ARTIKEL BERKAITAN:Keputusan Presiden, MKT lemahkan kebangkitan UMNO
ARTIKEL BERKAITAN:UMNO pecat KJ, Hishammuddin dan Shahril digantung keahlian
ARTIKEL BERKAITAN:[VIDEO] UMNO gantung keahlian Noh Omar
ARTIKEL BERKAITAN:Noh Omar dipecat selepas pertikai penggantungannya
ARTIKEL BERKAITAN:Noh hadir mesyuarat MKT UMNO
ARTIKEL BERKAITAN:Pas Selangor terbuka terima Noh, ahli UMNO
ARTIKEL BERKAITAN:Pembersihan bebaskan UMNO dari 'gunting dalam lipatan'
ARTIKEL BERKAITAN:Pembersihan UMNO: 'Jangan pecat bekas pemimpin'