Sebar berita palsu perangkap mangsa

Iklan
Antara berita palsu yang melibatkan bekas pemimpin negara sebelum ini. Gambar kecil: Zulkarnain

ADA sindiket penipuan menjadikan media sosial bagi menyebarkan berita-berita palsu sebagai umpan untuk memerangkap dan memperdayakan mangsa.

Berita-berita palsu yang disebar ini melibatkan maklumat berkaitan bantuan kerajaan, pinjaman serta skim pelaburan, sekali gus mengakibatkan ada dalam kalangan pengguna media sosial terperdaya dan masuk dalam perangkap sindiket penipuan.

Iklan
Iklan

Bukan itu sahaja, kaedah penipuan ini menggunakan laman sesawang palsu dan logo sebenar sesebuah institusi. Kemudian, ia ditular melalui medium media sosial yang mudah diakses oleh orang awam terutama Facebook.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pegawai Kawal Selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Zulkarnain Mohd Yasin berkata, lebih membimbangkan berita palsu sebegini disebar luas oleh segelintir pengguna media sosial.

Iklan

"Berita palsu terutamanya melibatkan tadbir urus seperti bantuan-bantuan kerajaan, pinjaman dan skim pelaburan antara yang popular ketika ini.

"Tanpa sedar, ia telah dikongsi dan disebar luas oleh pengguna media sosial, sekali gus membuka jalan kepada sindiket penipuan untuk memerangkap mangsa,” katanya dalam temu bual khas bersama Sinar Harian di Ibu Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Cyberjaya baru-baru ini.

Iklan
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bertanggungjawab dalam mengawal selia peraturan industri berdasarkan kuasa yang termaktub di dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (1998) dan Akta Komunikasi dan Multimedia (1998).

Beliau memberitahu, kaedah penipuan ini menggunakan laman sesawang palsu yang terdapat logo sebenar sesebuah institusi bagi memperdayakan mangsa sebelum disebar menerusi media sosial seperti Facebook.

Menurut Zulkarnain, laman sesawang ini direka dengan menyertakan info-info berkaitan sehingga mengakibatkan mangsa mempercayai bahawa ia merupakan laman sesawang sebenar.

Tambah beliau, individu yang sememangnya mempunyai niat untuk menyebar berita palsu ini akan melakukan perancangan rapi yang mana sengaja mereka-reka cerita dengan niat mengelirukan para pembaca.

"Mereka ini dikesan mewujudkan akaun palsu sebelum menggunakan kaedah tutup jejak digital iaitu dengan menutup akaun baharu tersebut selepas menyebarkan sesuatu berita itu.

"Secara umumnya pengguna dikenal pasti tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya telah bertindak menyebarkan sesuatu informasi atau maklumat palsu.

"Namun, kesempatan ini digunakan oleh pihak-pihak yang mempunyai agenda tersendiri melibatkan segelintir kumpulan atau individu,” ujarnya.

Zulkarnain berkata, mereka yang membuat berita palsu ini terdiri daripada individu atau kumpulan yang mempunyai pegangan sama ada politik, agama atau pihak yang mempunyai agenda tersendiri.

"Kumpulan atau individu seperti ini dikenal pasti sebagai golongan yang memperjuangkan apa yang dipercayai.

"Sikap ekstrem dan taasub menebal sehinggakan sanggup mencetuskan sesuatu isu atau perkara yang tidak benar dan kemudian menularkannya menerusi medium media sosial,” katanya.

Beliau berpendapat, soal sesuatu perkara yang ditularkan itu sama ada ia benar atau tidak bukan satu keutamaan bagi golongan ini.

"Soal tanggungjawab bagi mereka ini langsung tidak dipedulikan sama sekali asalkan agenda yang ingin disebar luas tercapai. Kesannya adalah kepada masyarakat apabila sesuatu perkara itu diterima bulat-bulat tanpa menyemak terlebih dahulu kesahihannya,” katanya.

Prihatin, mahu jadi yang pertama

Berlumba-lumba untuk menjadi sebagai orang pertama yang tahu akan sesuatu berita serta sikap prihatin antara faktor dikesan terjadinya penularan berita palsu.

Zulkarnain berkata, sikap berlumba mahu tahu sesuatu berita tanpa semak menjadikan sesuatu perkara yang tidak sahih itu mudah tersebar.

"Siasatan mendapati suspek (penyebar) mendakwa tidak mengetahui kandungan dimuat naik adalah palsu dan hanya ingin menjadi individu pertama yang berkongsi berita tersebut tanpa melakukan semakan.

"Malah, ada antaranya mendakwa mereka bersikap prihatin apabila berkongsi sesuatu maklumat berkaitan bantuan kerajaan walhal apa yang dikongsikan itu tidak benar,” jelasnya.

Zulkarnain menambah, penyebaran tertinggi turut dikesan melibatkan kesihatan dan jenayah.

"Isu sebegini dikesan lebih kerap dimainkan kerana berkait rapat dengan kehidupan seharian masyarakat itu sendiri.

"Antaranya melibatkan maklumat mengenai kejadian jenayah di sesuatu kawasan walhal perkara tersebut tidak berlaku termasuk berkaitan penyakit berjangkit yang merebak,” katanya.

Beliau sehubungan itu mengingatkan orang ramai bahawa setiap apa yang dikongsikan mempunyai impak yang tersendiri dan tindakan turut dikenakan terhadap individu yang menyebar luaskan sesebuah berita palsu itu.

"Perkongsian berita palsu yang mendatangkan kemudaratan boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Masyarakat khususnya pengguna media sosial mempunyai peranan besar dalam persekitaran bermaklumat,” jelasnya.

Zulkarnain berkata, kebergantungan sama ada maklumat tersebut sahih atau sebaliknya adalah bergantung kepada masyarakat itu sendiri.

"Peranan yang dimainkan meliputi dua perkara iaitu sebagai pihak yang menyebarkan dan menerima maklumat.

"Berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang maklumat yang diterima, pastikan kesahihan terlebih dahulu manakala sekiranya terdapat sesuatu maklumat baharu diterima, nilaikan dahulu kesahihannya sebelum bertindak berkongsi maklumat tersebut,” katanya.

Berita palsu boleh cetus ketegangan kaum

Baru-baru ini, negara digemparkan dengan laungan azan dalam satu ritual keagamaan yang menimbulkan isu sensitif dalam kalangan masyarakat.

Ketua Pegawai Kawal Selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Zulkarnain Mohd Yasin berkata, isu terbabit disebar luas dengan sengaja untuk menimbulkan ketidakstabilan dan keharmonian kaum di negara ini.

"Apa yang menyedihkan, video ini ditularkan berserta info dan maklumat kononnya kejadian berlaku di negara ini.

"Sekali gus, ia mengakibatkan perasaan tidak puas hati dan mengakibatkan wujudnya kebencian antara satu sama lain selain menjadikan agensi terlibat dipertikaikan berikutan tiada tindakan diambil walhal ia berlaku di luar negara,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Perkongsian berita palsu melibatkan maklumat berkaitan bantuan kerajaan, pinjaman serta skim pelaburan sekali gus mengakibatkan mangsa terperdaya.

Menurut beliau, penularan berita palsu terutamanya melibatkan isu sensitif adalah perkara yang perlu dibendung.

"Berita palsu bukan perkara kecil, malah ia sekali gus dibimbangi boleh mendatangkan kesan buruk terhadap masyarakat dan negara.

"Apabila sesuatu berita palsu tidak dikawal, maka akan timbulnya perasaan marah dan dendam, dan dikhuatiri akan menimbulkan ketegangan sekiranya ia tidak dikawal,” katanya.

Bagaimanapun, beliau kesal terdapat segelintir masyarakat memandang enteng terhadap berita palsu ini.

"Kita harus ingat, berita palsu akan mengakibatkan ketidakstabilan perpaduan masyarakat di negara ini kerana kita hidup berbilang kaum.

"Penularan berita palsu sekali gus akan menggugat keharmonian yang kita kecapi selama ini,” tegasnya.

Peranan SKMM

Agensi yang berautoriti terhadap salah laku di internet dan media sosial.

Mengawal selia peraturan industri berdasarkan kuasa yang termaktub di dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (1998) dan Akta Komunikasi dan Multimedia (1998).

Melaksana dan menguatkuasa penyediaan undang-undang komunikasi dan multimedia.

Mengawal selia semua perkara berkaitan aktiviti komunikasi dan multimedia yang tidak termaktub di dalam undang-undang komunikasi dan multimedia.

Bilangan kes yang dicatatkan melibatkan berita-berita palsu pada 2022

- 33 kes

Pecahan medium sebar berita palsu 2022

Blog-1

Facebook-27

Tik Tok-2

Twitter-1

Laman Web-2

Kategori/Jumlah artikel palsu

Urus tadbir- 760 (37peratus)

Kesihatan -339 (17 peratus)

Jenayah - 334 (17 peratus)

Kepenggunaan - 216 (11 peratus)

INFO Peruntukan undang-undang

Peruntukan undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) antara instrumen perundangan dalam mengawal perekaan, penerbitan dan penularan kandungan atau berita tidak benar.

Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes-kes berkaitan berita palsu

28 Januari 2020

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang suspek yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan koronavirus di Kuala Lumpur. Menurut kenyataan SKMM, suspek berumur 34 tahun itu ditahan di kediamannya di Bangi, Selangor pada jam 4 petang bagi membantu siasatan terhadap satu kandungan yang dimuat naik di laman Facebook pada 26 Januari 2020.

24 Ogos 2022

Jabatan Penjara Malaysia menafikan dakwaan yang tular di laman sosial kononnya penjara atau bilik tahanan untuk individu kenamaan (VIP) tidak sama seperti bilik banduan biasa di Kajang. Jabatan Penjara Malaysia menerusi catatan di Facebook mengesahkan maklumat disebarkan itu adalah palsu.

13 Oktober 2021

Seorang suri rumah didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyebarkan berita palsu berkaitan penularan jangkitan Covid-19, dalam kejadian April 2021 di Kangar. Nor Sakinah Razelan, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Musyiri Peet dan dia juga berdepan hukuman penjara selama lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.