Polis jerat sindiket campur dadah dalam vape

Iklan
Polis merampas cecair vape berisi dadah susulan penahanan dua suspek lelaki dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, Khamis lalu.

KUALA LUMPUR - Kegiatan sindiket yang mencampur dadah dalam cecair vape sebelum dijual di pasaran tempatan terbongkar ketika serbuan di sekitar Lembah Klang pada Khamis.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan memaklumkan, serbuan itu dijalankan sepasukan JSJN Bukit Aman di Setapak, Kuala Lumpur dan Puchong, Selangor.

Iklan
Iklan

Menurutnya, serbuan pertama berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 24 dan 35 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti memproses dan mengedar dadah dalam bentuk cecair vape.

"Hasil pemeriksaan ke atas motosikal digunakan suspek, polis telah merampas 35 botol cecair vape dengan anggaran isi padu 350 mililiter bernilai kira-kira RM5,250.

Iklan

"Serbuan kedua di sebuah kediaman di Puchong kemudian berjaya merampas kotak dan botol-botol kosong yang dipercayai digunakan untuk membungkus cecair vape," katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook rasmi JSJN.

Tambah kenyataan itu, kegiatan terbabit dipercayai mula aktif sejak beberapa bulan yang lalu.

Iklan

Katanya, modus operandi sindiket adalah mencampurkan cecair dadah ke dalam perisa vape sebelum menggunakan perkhidmatan kurier bagi mengedar dadah terbabit di sekitar Lembah Klang.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dengan penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Tegas JSJN, pihaknya menyeru masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222.