ALOR SETAR - Pemuda UMNO mengutuk tindakan ahli politik Denmark-Sweden, Rasmus Paludan yang disifatkan biadab kerana membakar kitab suci al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm baru-baru ini.
Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan berkata, pemimpin tersebut adalah seorang politikus mentah yang berfikiran sempit dan telah menyalahgunakan posisinya demi menegakkan pemikiran ekstremisme kanan serta agenda politik peribadi sempit.
"Saya dan rakan-rakan Pemuda UMNO Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya perlakuan keji yang sungguh nyata lagi bersuluh berniat untuk menghina lebih 1.9 billion umat Islam di seluruh dunia ini.
"Kami di Pemuda UMNO Malaysia memberi amaran dan menggesa kerajaan Sweden untuk mengambil tindakan serius terhadap Rasmus Paludan serta tidak melindungi beliau di sebalik hak kebebasan bersuara," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut Hasmuni, kegagalan kerajaan Sweden mengambil tindakan ke atas Paludan bukan sahaja akan mengeruhkan keadaan semasa di banyak negara Islam di seluruh dunia malah membantutkan usaha baik menggalakkan dialog keamanan global demi keharmonian sejagat.
Pada 22 Januari lalu,Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menggesa kerajaan Sweden mengambil tindakan segera terhadap pelaku perbuatan keji itu serta memastikan langkah drastik pada masa depan bagi menangani kebangkitan Islamofobia yang membimbangkan di negara berkenaan.
Tindakan provokasi itu bukan sahaja mencetuskan sensitiviti kepada Turkiye tetapi turut memberi kesan kepada umat Islam di dunia.
Media melaporkan, Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, di bawah perlindungan ketat polis dengan kehadiran kira-kira 100 orang.
Selepas mengecam hampir sejam yang mana dia menyerang Islam dan Imigresen di Sweden, Paludan membakar al-Quran dengan pemetik api.